Tatacara hidup suami isteri Adam dan Hawa di bumi mulai tertib dan
sempurna tatkala Hawa bersedia untuk melahirkan anak-anaknya yang
akan menjadi benih pertama bagi umat manusia di dunia ini.
Siti Hawa melahirkan kembar dua pasang. Pertama lahirlah pasangan
Qabil dan adik perempuannya yang diberi nama "Iqlima", kemudian
menyusul pasangan kembar kedua Habil dan adik perempuannya yang
diberi nama "Lubuda".
Kedua orang tua, Nabi Adam dan Siti Hawa, menerima kelahiran
keempat putera puterinya itu dengan senang dan gembira, walaupun
Hawa telah menderita apa yang lumrahnya dideritai oleh setiap ibu yang
melahirkan bayinya. Mereka mengharapkan dari keempat anak
pertamanya ini akan menurunkan anak cucu yang akan berkembang biak
untuk mengisi bumi Allah dan menguasai sesuai dengan amanat yang
telah di bebankan ke atas bahunya.
Di bawah naungan ayah ibunya yang penuh cinta dan kasih sayang maka
membesarlah keempat-empat anak itu dengan cepatnya melalui masa
kanak-kanak dan menginjak masa remaja. Yang perempuan sesuai dengan
kudrat dan fitrahnya menolong ibunya mengurus rumahtangga dan
mengurus hal-hal yang menjadi tugas wanita,sedang yang laki-laki
menempuhi jalannya sendiri mencari nafkah untuk memenuhi keperluan
hidupnya. Qabil berusaha dalam bidang pertanian sedangkan Habil di
bidang perternakan.
Penghidupan sehari-hari keluarga Adam dan Hawa berjalan tertib
sempurna diliputi rasa kasih sayang saling cinta mencintai hormat
menghormati masing-masing meletakkan dirinya dalam kedudukan yang
wajar si ayah terhadap isterinya dan putera-puterinya,si isteri terhadap
suami dan anak-anaknya. Demikianlah pula pergaulan di antara keempat
bersaudara berlaku dalam harmoni damai dan tenang saling bantu
membantu hormat menghormati dan bergotong-royong.
Keempat Anak Adam Memasuki Alam
Remaja
Keempat putera-puteri Adam mencapai usia remaja dan memasuki alam
akil baligh di mana nafsu berahi dan syahwat serta hajat kepada
hubungan kelamin makin hari makin nyata dan nampak pada gaya dan
sikap mereka hal mana menjadi pemikiran kedua orang tuanya dengan
cara bagaimana menyalurkan nafsu berahi dan syahwat itu agar terjaga
kemurnian keturunan dan menghindari hubungan kelamin yang bebas di
antara putera-puterinya.
Kepada Nabi Adam Allah memberi ilham dan petunjuk agar kedua
puteranya dikahwinkan dengan puterinya. Qabil dikahwinkan dengan adik
Habil yang bernama Lubuda dan Habil dengan adik Qabil yang bernama
Iqlima.
Cara yang telah di ilham oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Adam telah
disampaikan kepada kedua puteranya sebagai keputusan si ayah yang
harus dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk menjaga dan mengekalkan
suasana damai dan tenang yang meliputi keluarga dan rumahtangga
mereka. Akan tetapi dengan tanpa diduga dan disangka rancangan yang
diputuskan itu ditolak mentah-mentah oleh Qabil dan menyatakan
bahawa ia tidak mahu mengahwini Lubuda, adik Habil dengan
mengemukakan alasan bahawa Lubuda adalah buruk dan tidak secantik
adiknya sendiri Iqlima. Ia berpendapat bahawa ia lebih patut
mempersunting adiknya sendiri Iqlima sebagai isteri dan sekali-kali tidak
rela menyerahkannya untuk dikahwinkan oleh Habil. Dan memang
demikianlah kecantikan dan keelokan paras wanita selalu menjadi fitnah
dan rebutan lelaki yang kadang-kadang menjurus kepada pertentangan
dan permusuhan yang sampai mengakibatkan hilangnya nyawa dan
timbulnya rasa dendam dan dengki di antara sesama keluarga dan sesama
suku.
Kerana Qabil tetap berkeras kepala tidak mahu menerima keputusan
ayahnya dan meminta supaya dikahwinkan dengan adik kembarnya
sendiri Iqlima maka Nabi Adam seraya menghindari penggunaan
kekerasan atau paksaan yang dapat menimbulkan perpecahan di antara
saudara serta mengganggu suasana damai yang meliputi keluarga beliau
secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan masalah perjodohan itu
kepada Tuhan untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa masing-
masing dari Qabil dan Habil harus menyerahkan korban kepada Tuhan
dengan catatan bahawa barang siapa di antara kedua saudara itu
diterima korbannya ialah yang berhad menentukan pilihan jodohnya.
Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang ditawarkan oleh
ayahnya. Habil keluar dan kembali membawa peliharaannya sedangkan
Qabil datang dengan sekarung gandum yang dipilih dari hasil cucuk
tanamnya yang rosak dan busuk kemudian diletakkan kedua korban itu
kambing Habil dan gandum Qabil di atas sebuah bukit lalu pergilah
keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan terjadi atas dua jenis
korban itu.
Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh anggota keluarga Adam yang
menanti dengan hati berdebar apa yang akan terjadi di atas bukit di
mana kedua korban itu diletakkan, terlihat api besar yang turun dari
langit menyambar kambing binatang korban Habil yang seketika itu
musnah ternakan oleh api sedang karung gandum kepunyaan Qabil tidak
tersentuh sedikit pun oleh api dan tetap tinggal utuh.
Maka dengan demikian keluarlah Habil sebagai pemenang dalam
pertaruhan itu karena korban kambing telah diterima oleh Allah sehingga
dialah yang mendapat keutamaan untuk memilih siapakah di antara
kedua gadis saudaranya itu yang akan dipersandingkan menjadi isterinya.
Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah
Manusia
Dengan telah jalurnya keputusan dari langit yang menerima korban Habil
dan menolak korban Qabil maka pudarlah harapan Qabil untuk
mempersandingkan Iqlima tidak puas dengan keputusan itu namun tidak
ada jalan untuk menyoalkan. Ia menyerah dan memerainya dengan rasa
kesal dan marah sambil menaruh dendam terhadap Habil yang akan
dibunuh di kala ketiadaan ayahnya.
Ketika Adam hendak berpergian dan meninggalkan rumah beliau
mengamanahkan rumahtangga dan keluarga kepada Qabil. Ia berpesan
kepadanya agar menjaga baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama
ketiadaannya. Ia berpesan pula agar kerukunan keluarga dan ketenangan
rumahtangga terpelihara baik-baik jangan sampai terjadi hal-hal yang
mengeruhkan suasana atau merosakkan hubungan kekeluargaan yang
sudah akrab dan intim.
Qabil menerima pesanan dan amanat ayahnya dengan kesanggupan akan
berusaha sekuat tenaga menyelenggarakan amanat ayahnya dengan
sebaik-baiknya dan sempurna berpergiannya akan mendapat segala
sesuatu dalam keadaan baik dan menyenangkan. Demikianlah kata-kata
dan janji yang keluar dari mulut Qabil namun dalam hatinya ia berkata
bahawa ia telah diberi kesempatan yang baik untuk melaksanakan niat
jahatnya dan melepaskan rasa dendamnya dan dengkinya terhadap Habil
saudaranya.
Tidak lama setelah Adam meninggalkan keluarganya datanglah Qabil
menemui Habil di tempat penternakannya. Berkata ia kepada Habil:"Aku
datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku
lenyapkan engkau dari atas bumi ini."
"Apa salahku?"tanya Habil. Dengan asalan apakah engkau hendak
membunuhku?"
Qabil berkata:"Ialah kerana korbanmu diterima oleh Allah sedangkan
korbanku ditolak yang bererti bahawa engkau akan mengahwini adikku
Iqlima yang cantik dan molek itu dan aku harus mengahwini adikmu yang
buruk dan tidak mempunyai gaya yang menarik itu."
Habil berkata:"Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima
korbanku dan menolak korbanmu?Tidakkah engkau telah bersetuju cara
penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami
laksanakan?Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan
hawa nafsu dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak-
masak akan akibat perbuatanmu kelak! Ketahuilah bahawa Allah hanya
menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan
dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni.Adakah
mungkin sesekali bahawa korban yang engkau serahkan itu engkau
pilihkannya dari gandummu yang telah rosak dan busuk dan engkau
berikan secara terpaksa bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga
ditolak oleh Allah, berlainan dengan kambing yang aku serahkan sebagai
korban yang sengaja aku pilihkan dari perternakanku yang paling sihat
dan kucintai dan ku serahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan
diterimanya oleh Allah.
Renungkanlah, wahai saudaraku kata-kataku ini dan buangkanlah niat
jahatmu yang telah dibisikkan kepadamu oleh Iblis itu, musuh yang telah
menyebabkan turunnya ayah dan ibu dari syurga dan ketahuilah bahawa
jika engkau tetap berkeras kepala hendak membunuhku, tidaklah akan
aku angkat tanganku untuk membalasmu kerana aku takut kepada Allah
dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak diredhainya.Aku hanya
berserah diri kepada-Nya dan kepada apa yang akan ditakdirkan bagi
diriku."
Nasihat dan kata-kata mutiara Habil itu didengar oleh Qabil namun
masuk telinga kanan keluar telinga kiri dan sekali-kali tidak sampai
menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa dengki, dendam dan iri hati
sehingga tidak ada tempat lagi bagi rasa damai, cinta dan kasih sayang
kepada saudara sekandungnya. Qabil yang dikendalikan oleh Iblis tidak
diberinya kesempatan untuk menoleh kebelakang mempertimbangkan
kembali tindakan jahat yang dirancangkan terhadap saudaranya, bahkan
bila api dendam dan dengkin didalam dadanya mulai akan padam
dikipasinya kembali oleh Iblis agar tetap menyala-yala dan ketika Qabil
bingung tidak tahu bagaimana ia harus membunuh Habil saudaranya,
menjelmalah Iblis dengan seekor burung yang dipukul kepalanya dengan
batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh Iblis itu diterapkannya
atas diri Habil di kala ia tidur dengan nyenyaknya dan jatuhlah Habil
sebagai korban keganasan saudara kandungnya sendiri dan sebagai korban
pembunuhan pertama dalam sejarah manusia
Penguburan Jenazah
Habil
Qabil merasa gelisah dan bingung menghadapi mayat saudaranya.ia tidak
tahu apa yang harus diperbuat dengan tubuh saudaranya yang semakin
lama semakin busuk itu.Diletakkannyalah tubuh itu di sebuah peti yang
dipikulnya seraya mundar-mundir oleh Qabil dalam keadaan sedih
melihat burung-burung sedang berterbangan hendak menyerbu tubuh
jenazah Habil yang sudah busuk itu.
Kebingungan dan kesedihan Qabil tidak berlangsung lama kerana ditolong
oleh suatu contoh yang diberikan oleh Tuhan kepadanya sebagaimana ia
harus menguburkan jenazah saudaranya itu.Allah s.w.t. Yang Maha
Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela melihat mayat hamba-Nya yang
soleh dan tidak berdosa itu tersia-sia demikian rupa, maka
dipertunjukkanlah kepada Qabil, bagaimana seekor burung gagak
menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu menyodokkan gagak lain
yang sudah mati dalam pertarungan, ke dalam lubang yang telah
digalinya, dan menutupi kembali dengan tanah. Melihat contoh dan
pengajaran yang diberikan oleh burung gagak itu, termenunglah Qabil
sejenak lalu berkata pada dirinya sendiri:"Alangkah bodohnya aku,
tidakkah aku dapat berbuat seperti burung gagak itu dan mengikuti
caranya menguburkan mayat saudaraku ini?"
Kemudian kembalilah Adam dari perjalanan jauhnya.Ia tidak melihat
Habil di antara putera-puterinya yang sedang berkumpul.Bertanyalah ia
kepada Qabil:"Di manakah Habil berada?Aku tidak melihatnya sejak aku
pulang."
Qabil menjawab:"Entah, aku tidak tahu dia ke mana! Aku bukan hamba
Habil yang harus mengikutinya ke mana saja ia pergi."
Melihat sikap yang angkuh dan jawapan yang kasar dari Qabil, Adam
dapat meneka bahawa telah terjadi sesuatu ke atas diri Habil, puteranya
yang soleh, bertakwa dan berbakti terhadap kedua orang tuanya itu.Pada
akhirnya terbukti bahawa Habil telah mati dibunuh oleh Qabil sewaktu
peninggalannya.Ia sangat sesal di atas perbuatan Qabil yang kejam dan
ganas itu di mana rasa persaudaraan, ikatan darah dan hubungan
keluarga diketepikan sekadar untuk memenuhi hawa nafsu dan bisikan
yang menyesatkan.
Menghadapi musibah itu, Nabi Adam hanya berpasrah kepada Allah
menerimanya sebagai takdir dan kehendak-Nya seraya mohon dikurniai
kesabaran dan keteguhan iman baginya dan kesedaran bertaubat dan
beristighfar bagi puteranya Qabil.
Kisah Qabil dan Habil Dalam
Al-Quran
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua
orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku
dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan
korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah
seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil)
menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang
bertaqwa;
(Al-Maidah
5:27)
Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya
(sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu
menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi
.(Al-Maidah 5:30)
Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak
(menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: "Wahai
celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti
burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?". Kerana itu
menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.
(Al-Maidah 5:31)
Pengajaran Dari Kisah Putera Nabi Adam
a.s.
Bahawasanya Allah s.w.t. hanya menerima korban dari seseorang yang
menyerahkannya dengan tulus dan ikhlas, tidak dicampuri dengan sifat
riyak, takabur atau ingin dipuji.Barang atau binatang yang dikorbankan
harus yang masih baik dan sempurna dan dikeluarkannya dari harta dan
penghasilan yang halal.Jika korban itu berupa binatang sembelihan,
harus yang sihat, tidak mengandungi penyakit atau pun cacat, dan jika
berupa bahan makanan harus yang masih segar baik dan belum rusak atau
busuk.
No comments:
Post a Comment