Monday 18 January 2016

Berbohong yg dibenarkan

Benarkah dibenarkan menipu suami/isteri?

عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ يَزِيدَ، قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " لاَ يَحِلُّ الْكَذِبُ إِلاَّ فِي ثَلاَثٍ يُحَدِّثُ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ لِيُرْضِيَهَا وَالْكَذِبُ فِي الْحَرْبِ وَالْكَذِبُ لِيُصْلِحَ بَيْنَ النَّاسِ "
Daripada ‘Asma bte Yazid radiallahu ‘anha, beliau berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tidak halal berbohong kecuali dalam tiga keadaan: Perkataan seorang suami kepada isterinya agar isterinya gembira, berbohong ketika perang, dan berbohong untuk mendamaikan manusia. [Jami’ at-Tirmizi, Kitab al-Birr wa al-Silah, hadis no: 1939, hadis hasan]

Ummu Kalthum mendengar Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لَيْسَ الْكَذَّابُ الَّذِي يُصْلِحُ بَيْنَ النَّاسِ وَيَقُولُ خَيْرًا وَيَنْمِي خَيْرًا " .
Bukanlah pendustaan itu apabila dia mendamaikan antara manusia, dan dia berkata yang baik.

قَالَ ابْنُ شِهَابٍ وَلَمْ أَسْمَعْ يُرَخَّصُ فِي شَىْءٍ مِمَّا يَقُولُ النَّاسُ كَذِبٌ إِلاَّ فِي ثَلاَثٍ الْحَرْبُ وَالإِصْلاَحُ بَيْنَ النَّاسِ وَحَدِيثُ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ وَحَدِيثُ الْمَرْأَةِ زَوْجَهَا .
Ibn Syihab berkata: Aku tidak mendengar sebarang keringanan dalam sesuatu untuk berdusta kecuali tiga perkara: Peperangan, mendamaikan manusia, dan perkataan seorang suami kepada isteri dan isteri kepada suami.
[Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, hadis no: 2605]

Imam an-Nawawi menerangkan dalam Syarah Sahih Muslim:

وَأَمَّا كَذِبُهُ لِزَوْجَتِهِ وَكَذِبُهَا لَهُ فَالْمُرَادُ بِهِ فِي إِظْهَارِ الْوُدِّ وَالْوَعْدِ بِمَا لَا يَلْزَمُ وَنَحْوُ ذَلِكَ ، فَأَمَّا الْمُخَادَعَةُ فِي مَنْعِ مَا عَلَيْهِ أَوْ عَلَيْهَا ، أَوْ أَخْذِ مَا لَيْسَ لَهُ أَوْ لَهَا فَهُوَ حَرَامٌ بِإِجْمَاعِ الْمُسْلِمِينَ . وَاَللَّهُ أَعْلَمُ .
Adapun berbohongnya suami kepada isterinya dan berbohongnya isteri kepada suaminya; yang dimaksudkan di sini ialah berbohong untuk menzahirkan rasa cinta untuk sesuatu yang sebenarnya tidak ada atau seumpamanya. Adapun menipu untuk menghalang haknya atau mengambil apa yang bukan haknya, maka itu merupakan perbuatan yang haram menurut kesepakatan ulama. Wallahua'lam.

Faedah hadis:

'Bohong' yang dimaksudkan di sini bukanlah menipu isteri untuk kepentingan diri. Sebaliknya ia lebih kepada aspek bergaul dan bergurau senda dengan isteri.

Contohnya, si isteri bertanya:

'Abang, sedap tak lauk hari ini saya masak?'

Lalu kita pun menjawab: 'Masya-Allah, sedap sangat. Pandai sayang masak'. Walaupun hakikatnya lauk itu mungkin masin sebab terlebih garam. Jadi, kita menjawab sebegitu rupa untuk menggembirakan isteri.

Adapun membohongi isteri untuk kepentingan diri sendiri, adalah terlarang.

Begitu juga si isteri, boleh jadi si suami akan bertanya selepas dia masak nasi goreng untuk si isteri: 'Macam mana nasi goreng abang?'. Lalu si isteri menjawab: 'Masya-Allah, sedap, macam Chef Wan' walaupun sebenarnya tawar sebab si suami tak pandai campur bahan.