Thursday 20 December 2012

Perutusan Imam

PERUTUSAN  IMAM  1



Assalamualaikum wbt.
Terlebih dahulu saya panjat syukur  kehadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya laman sesawang rasmi Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Bukit Rangin  dapat disediakan.  Ini adalah berkat usaha beberapa Ahli Jawatankuasa yang berusaha belajar dan terus menghasilkan laman ini tanpa mengenal jemu. Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat terutama unit ICT Masjid dan Bahagian Sekritariat Masjid kerana daya usaha mereka maka laman sesawang rasmi yang akan menjadi rujukan orang ramai terhasil dengan baik. Perkembangan dan kepesatan  teknologi maklumat  yang begitu pantas dan efisien  memungkinkan seluruh masyarakat dunia mendapatkan  maklumat dengan cepat dalam masa yang singkat.

Dunia yang luas terbentang kini menjadi sebuah penempatan kecil  yang boleh dilawati dan diterokai dengan dengan hujung jari sahaja.  Sewajarnya, kemajuan teknologi dan perkembangan ict ini mesti diambil peluang dan dimanafaatkan sebaik mungkin oleh setiap institusi khususnya masjid untuk kepentingan agama dan dakwah dan menarik serta mendekatkan ahli masyarakat terutama golongan muda - mudi  kepada masjid.  Langkah pertama yang mereka harus ambil ialah dengan menghadirkan diri ke rumah Allah  melalui solat berjemaah dan menghadiri program- program yang dianjurkan oleh pihak masjid.
Oleh itu, laman sesawang rasmi Masjid Saidina Othman ini akan menjadi persinggahan  untuk ahli masyarakat mengenali, mendekati dan seterusnya mencintai masjid. Laman rasmi ini juga akan dimanafaatkan oleh pihak masjid bagi menghebahkan semua aktiviti pengimarahan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan di masjid ini seperti  kelas-kelas pengajian, kuliah, tazkirah, ceramah, seminar, forum, kursus dan sebagainya .
Akhirnya, sekali lagi saya merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menghasilkan laman sesawang rasmi masjid ini. Semoga semangat dan kerjasama yang dilakukan ini hendaknya diterus dan dikekalkan dalam usaha membangun dan menambah baik laman web ini dari masa ke semasa. Saya juga mengalu-alukan semua pengunjung laman ini untuk mendapatkan maklumat yang ada kaitan dengan ilmu agama dan berharap agar ada yang sudi menegur dan memberi pandangan serta cadangan untuk kebaikan laman ini.
Sekian terima kasih.
HJ ZAKARIA BIN SHAFIE
Imam 1, Masjid Saidina Othman Ibnu Affan,
Bukit Rangin, Kuantan, Pahang