Pendahuluan
Maulidur
Rasul berasal dari perkataan Arab (kelahiran
Rasul) di mana ia merupakan hari bersejarah keputeraan Nabi
Muhammad S.A.W. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena
kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Isnin (Dari hadith riwayat Muslim) bertarikh
12 Rabiul Awal Tahun Gajah
bersamaan dengan 23 April 571
Masehi. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah
Subhanahu Wataala (S.W.T). Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu
bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulidur Rasul atau Maulid Harta.
Kini sambutan
Maulidur Rasul telah memasuki tahun 1435 Hijrah pada 14 Januari 2014. Lazimnya pada setiap tahun umat Islam di seluruh
dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad S.A.W dengan
mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak
kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada mereka
yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.
Kita dapat lihat
betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad
Sallallahu Alaihi Wasallam (S.A.W), kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi,
sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya
bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal soleh.
Tokoh Agung
Sepanjang Zaman
Apabila ditanya
siapakah yang disifatkan sebagai tokoh agung yang berpengaruh dalam sejarah
peradaban manusia, rata-rata akan memberi jawapan yang bersifat
pelbagai berdasarkan kriteria-kriteria yang telah
mereka susun dan merasakan sesuai untuk dipenuhi oleh calon yang dinobatkan
dengan gelaran sedemikian. Sesetengah bagi kita memilih golongan pemimpin
politik atau ketua negara, atau mungkin seorang saintis dan mungkin juga
sasterawan malah artis sebagai tokoh yang layak diberikan gelaran
sedemikian.
Bagi seorang Muslim,
tidak dapat kita tolak kenyataan bahawa tiada tokoh yang paling berpengaruh dalam
sejarah perkembangan manusia dulu, kini dan masa hadapan melainkan seorang yang
bernama Muhammad bin
Abdullah, seorang Rasul dan
kekasih pilihan Allah S.W.T. Atas dasar cinta yang mendalam oleh
kaum Muslimin, hikmah dan rahsia kelahiran baginda di bumi Mekah terus digali
dan diselidiki bukan kerana rasa sangsi atas keperibadian agung ini tetapi atas
rasa ingin mendekatkan diri kepada kebenaran.
Hakikatnya, jawapan
sebenar terpilihnya Rasullullah sebagai
pembimbing umat manusia adalah rahsia milik
Allah (Surah Hud : Ayat 123). Para ulama dan pengkaji
fiqh sirah telah mengkaji hikmah di sebalik kelahiran Rasulullah yang menjadi
kejutan kepada golongan Yahudi yang selama ini menganggap kehadiran para Nabi
hanya di kalangan kaum mereka sahaja. Mekah mempunyai keunikannya tersendiri.
Meskipun didiami oleh kelompok-kelompok bangsa Arab yang hidup secara kabilah
dan mengamalkan konsep assabiyah, namun di sebalik kehidupan gelap Jahiliyah,
masih ada nilai-nilai murni
yang terus dipegang erat sebagai tradisi kehidupan.
Hikmah
Maulidur Rasul
Terdapat segelintir
umat Islam yang keliru apabila kita bertanyakan apakah kaitannya Maulidur Rasul
dengan ajaran Islam. Ada yang memberikan pandangan sinis yang menggambarkan
seolah-olah ialah satu perayaan keagamaan dan perarakan di kawasan sekitar
masjid atau di stadium. Malah yang lebih menyedihkan, ada yang berpendapat ianya
sekadar hari untuk mendengar syarahan agama atau majlis perjumpaan sesama umat
Islam. Namun begitu, ada juga di kalangan cerdik pandai Islam berfahaman WAHABI bertegas untuk melarang umat Islam mengadakan perayaan pada hari
Maulidur Rasul dan hari Israk Mikraj. Semua ini dianggap oleh puak Wahabi
sebagai BIDAAH dan perlu
dihapus kerana tidak pernah diamalkan oleh nabi sendiri. Inikah JIWA dan IMAN seorang umat Islam?
Jesteru itu, marilah
kita sama-sama berlapang DADA dan membuka MINDA untuk menghayati apakah hikmah yang
tersirat dan tersurat dalam kita merayakan sambutan Maulidur Rasul. Di antara
hikmahnya ialah :
1.
Nilai-Nilai Murni
-
Keunikan bangsa Arab dapat dilihat daripada sikap mereka yang amat menyanjungi karya-karya sastera khususnya syair-syair. Daya ingatan mereka yang kuat dalam menghafal syair-syair Arab serta mengingati susur galur keturunan dalam kabilah adalah kelebihan yang dimiliki. Tambahan lagi keberanian mereka telah terbukti melalui persengketaan antara kabilah sehingga membawa kepada peperangan dan pertumpahan darah.
-
Sehinggalah kehadiran Rasulullah S.A.W dengan risalah Islam, nilai-nilai keberanian serta kekuatan mengingat ini diangkat menjadi salah satu sifat yang mulia dan dibersihkan daripada kekotoran kepada kemurnian dan kesucian jiwa. Jiwa-jiwa mereka telah disatukan malah gambaran kehidupan jahiliyah turut dikhabarkan oleh Allah S.W.T dengan firmanNya.
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).”(Surah Ali-Imran : Ayat 103)
-
Demikianlah Allah S.W.T menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. Maka lahirlah golongan huffaz yakni penghafaz-penghafaz al-Quran di kalangan mereka dan mereka adalah golongan yang diamanahkan untuk memelihara kesucian dan keharmonian kitab Allah S.W.T seperti mana para sahabatnya. Rasulullah S.A.W bersabda:
“Orang-orang yang mulia di kalangan umatku ialah penghafaz al-Quran. “(Riwayat al-Tirmizi)
-
Keberanian mereka disalurkan kepada jalan yang lebih baik iaitu dengan tertegaknya konsep jihad, iaitu mencurahkan daya dan tenaga kekuatan dalam usaha mencapai suatu matlamat atau cita-cita mulia dan ideal, iaitu matlamat dan cita-cita Islam serta mendapat keampunan Allah S.W.T, keredaan dan rahmat-Nya dengan mencakupi suatu usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai satu-satu tujuan yang diingini atau mempertahankan sesuatu yang tidak diingini dengan pelbagai cara sama ada alat, ilmu pengetahuan dan sebagainya.
-
Jika dahulu mereka berperang kerana ingin mempertahankan kabilah, sebaliknya konsep peperangan yang dididik oleh baginda telah diikuti oleh mereka untuk mempertahankan ajaran Islam daripada dicerobohi serta memastikan keamanan dan keadilan ditegakkan. Sejarah Islam mencatatkan ketika peperangan Yamamah. Tentera-tentera Islam yang ikut serta dalam peperangan ini, kebanyakan terdiri daripada para sahabat dan para panghafal al-Quran. Dalam peperangan ini telah gugur 70 orang penghafal al-Quran.
-
Bahkan sebelum itu gugur hampir sebanyak itu juga penghafal al-Quran di mana Nabi pada suatu pertempuran di Bir Maunah berhampiran kota Madinah. Ini membuktikan kejayaan Rasulullah mengalihkan pandangan dan jiwa mereka kepada mempertahankan sesuatu yang hak dan menolak kebatilan. Malah, bangsa yang dahulunya tidak mendapat tempat dalam usaha peluasan empayar Persia dan Rom memberi kejutan yang besar dan menggugat golongan raja-raja dan pemerintah yang zalim terhadap rakyatnya ketika itu. Ini diakui oleh Maharaja Heracilus apabila menerima sepucuk surat dari Rasulullah agar beliau adil terhadap rakyat dan menerima Islam sebagai cara hidupnya
2.
Kesucian Bumi Mekah
-
Kelahiran Rasulullah di bumi Mekah adalah satu nikmat dan rahmat Allah s.w.t. dalam menyucikan Kaabah daripada amalan penyembahan berhala. Kaabah yang terletak di tengah-tengah garis bumi seolah-olah seperti sebatang lilin yang diletakkan di tengah-tengah bilik dan cahayanya menerangi segenap penjuru bilik tersebut. Perpaduan begitulah diibaratkan kepada Rasulullah S.A.W, baginda adalah cahaya kebenaran yang menerangi segenap penjuru alam ini dengan kebenaran Islam melalui bimbingan al-Quran dan sunah dan meletakkan Kaabah kembali sebagai titik perpaduan umat untuk menyembah Allah yang satu.
3. Nabi
Akhir Zaman
-
Allah S.W.T telah mengkhabarkan kepada para Nabi sebelumnya tentang kehadiran Nabi terakhir yang akan membawa mesej Islam kembali untuk umat akhir zaman. Nabi Musa dan Nabi Isa A.S adalah di antara nabi-nabi ulul azmi yang telah diberikan pengkhabaran tersebut. Perkara ini telah dijelaskan di dalam al-Quran:
“Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Mariam berkata: “Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad.” Maka ketika dia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!”(Surah as-Saff : Ayat 6)
4. Doa
Nabi Ibrahim A.S
-
Hikmah dan rahsia di sebalik kelahiran Rasulullah di bumi Mekah juga adalah kerana makbulnya doa Nabi Ibrahim A.S yang memohon agar keturunannya turut diberikan kepada mereka golongan nabi dan rasul. Permintaan ini telah dipenuhi-Nya dengan kelahiran nabi dari keturunan Ismail A.S.
“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: (Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan). Allah berfirman: (Permohonanmu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”(Surah al-Baqarah : Ayat 124)
Kesimpulan
Kelahiran dan
kewafatan Rasulullah telah memberi kesan yang sangat besar ke atas perkembangan
Islam. Baik Muslim dan bukan Islam turut mengakui ketokohan baginda dalam
membimbing kehidupan manusia sebagaimana disebutkan oleh tokoh Barat
Micheal H. Hart di dalam bukunya, “The
Hundred” di mana Nabi
Muhammad S.A.W disenaraikan di tempat PERTAMA tokoh yang paling
berpengaruh di dunia seperti catatan berikut:
“Pemilihan Muhammad sebagai tokoh yang paling berpengaruh di dunia mungkin akan mengejutkan para pembaca dan turut akan dipersoalkan, tetapi hanya beliau individu paling berpengaruh di dalam sejarah di kedua-dua bidang keagamaan dan duniawi. Kini selepas empat belas kurun, pengaruhnya masih dapat dirasai. “(The Hundred, New York: Hart Publishing Company, Inc., 1978, halaman 33.)
Malah pengkritik
Islam, George Bernand Shaw mengatakan: “Saya telah mengkaji beliau, seorang tokoh yang hebat. Jauh sekali untuk mengatakan
beliau seorang anti-Christ tetapi layak dipanggil penyelamat kemanusiaan (The Genuine of
Islam). Sudah masa untuk kita berfikir sejenak, siapakah
individu unggul sebagai ikutan dan contoh kehidupan. Beliau dikagumi oleh lawan
dan dicintai oleh para sahabat. Kelahiran Rasulullah di bulan Rabiul Awal
adalah MESEJ yang perlu
diingati tidak sekadar sebagai bahan
sejarah tetapi menjadi ikutan buat setiap
insan.
“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”
(Surah al-Qalam : Ayat 4)
Berpandukan kepada
pengiktirafan di atas terhadap Nabi Muhammad S.A.W berkaitan personaliti dan
cara hidupnya maka apa salahnya kita sebagai umat Islam turut sama berbangga dan
menjadikan beliau sebagai IDOLA kita di sepanjang waktu dan
ketika. SEBARKANLAH
maklumat ini untuk dikongsikan bersama demi menyemarakkan lagi
kasih KASIH dan SAYANG terhadap junjungan besar
Nabi Muhammad S.A.W.
No comments:
Post a Comment