Wednesday, 9 January 2013

Rahmat Bulan Muharram

             Setiap kali kita diberi peluang berada pada gerbang tahun baru hijrah kita juga diberi peluang untuk kesekian kalinya berada pada bulan pertama dalam kalendar tahun hijri iaitu bulan Muharram. Kasihnya Allah s.w.t kepada kita semua umat akhir zaman ini dalam dilihat antaranya dengan melihat kepada kelebihan yang terdapat pada bulan Muharram.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al Taubah ayat 36 bermaksud: “ sesungguhnya bilangan bulan-bulan disisi Allah s.w.t ialah dua belas bulan, yang telah ditetapkn dalam kitab Allah s.w.t semasa Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan yang dihormati, ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang lurus maka janganlah kamu menzalimi diri kamu padanya”.

            Nabi s.a.w menjelaskan kepada kita nama empat bulan tersebut yang sebagaimana terkandung dalam sabdanya yang bermaksud “Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan haram. Tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan satu bulan lagi adalah Rejab yang terletak antara Jamadil Akhir dan Sya’ban.” (HR Muslim no. 1679). Ini menunjukkan bulan yang kita berada sekarang (Muharram) adalah antara empat bulan yang dikategorikan sebagai bulan yang mesti dihormati. Soalannya bagaimana cara menghormati  bulan-bulan  tersebut?

            Melihat kepada apa yang terdapat dalam Al Quran Al Sunnah maka kita dapati di sana ada dua cara kita menghormati bulan - bulan haram ini khusus pada bulan yang kita berada sekarang:

           Pertama dengan menjaga dan mengelakkan diri dari melakukan sesuatu yang dikategorikan sebagai zalim yang menjerumuskan kita kepada kemurkaan Allah s.w.t, ini sesuai dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud " janganlah kamu menzalimi diri kamu padanya  ( bulan - bulan haram)"- surah At taubah ayat 36.

          Kedua mengikuti teladan nabi s.a.w dalam memuliakannya dan menghormatinya. Ini dapat dilakukan dengan melihat apakah petunjuk  dan perlakuan baginda nabi s.a.w untuk kita contohi dan kita amalkan khususnya pada bulan ini, Sabda nabi s.a.w maksudnya:"Berpuasa pada hari ‘Asyura (sepuluh Muharram) sesungguhnya aku mengharapkan atas Allah SWT bahawa Dia akan menghapuskan dosa setahun yang sebelumnya." riwayat muslim.

        Melihat kepada ganjaran yang tersebut itu pastinya ia memberikan dorongan yang besar kepada orang yang mengutamakan keredhaan Allah s.w.t dalam hidupnya untuk merebut peluang dan kelebihan itu dengan melakukan ibadah puasa pada hari tersebut. Oleh Itu marilah sama-sama kita merasai bahawa kurniaan Allah s.w.t pada bulan muharram ini merupakan satu rahmat, sebagai tanda kebesaran dan kasih sayangnya kepada kita semua. Maka rugi dan sia-sialah orang yang yang tidak ada keinginan merebut rahmat Allah s.w.t dan membiarkan ia berlalu begitu saja.Semoga kita semua tidak tergolong dikalangan mereka yang rugi itu.

Abdul Ghani Abdul Rahman

Imam 3 MBR 

No comments: