Thursday 9 October 2014

PERANAN MALAYSIAN CHINESE MUSLIM ASSOCIATION(MACMA) DALAM DAKWAH ISLAMIAH

Salah satu persepsi yang salah dikalangan orang Islam khususnya orang Melayu menganggap bahawa orang China masuk Islam sebagai masuk Melayu dan perlu mengamalkan budaya Melayu seperti pakaian songkok, berbaju Melayu, berkain sarong bila menunaikan solat. Tanggapan ini perlu dikikiskan dari minda orang Melayu. Ada dikalangan sebahagian lelaki muslim Melayu pula bila berkahwin dengan perempuan China Muslim dan mendapat anak, menceraikan isterinya setelah beberapa tahun hidup bersama tanpa memberikan nafkah idah. Manakala sebahagian dari orang China yang baru jadi muallaf pula meminta sedekah di merata-merata masjid dan meminta simpati dari muslim lain walaupun ada peruntukan dari Majlis Ugama Islam (MUI) untuk salah satu asnaf yang lapan termasuk gulongan muallaf.
            Semua tanggapan terhadap sinario tersebut perlu diubah oleh semua pihak. Disinilah peranan yang perlu dimainkan oleh Malaysian Chinese Association (MACMA) dengan kerjasama masjid-masjid atau badan -badan dakwah yang lain.
            Bagi Masjid Syaidina Othman Ibn Affan program mengimarahkan masjid yang melibatkan MACMA  Negeri Pahang Cawangan Kuantan telah diadakan pertama kali pada 6 Oktober 2014 ia itu sempena sambutan Hari Raya Adha yang lalu. Buat permulaan diadakan program ibadah qurban dimana dua ekor lembu telah disembelih dikawasan masjid ini. Tujuan utama program ini bukan sahaja melakukan ibadah qurban tetapi juga program taaruf atau suaikenal antara ahli-ahli MACMA, jamaah masjid dan penduduk sekitarnya. Dengan cara ini masyarakat tempatan akan lebih mengenali cara hidup Chinese Muslim dengan lebih dekat.
            Sebagaimana yang dihasratkan oleh Tuan Haji Md Nasir bin Mamat , salah seorang AJK Masjid yang diberi tanggungjawab untuk menyelaraskan program MACMA  di masjid ini mengatakan " bahawa persepsi dan paradigma masyarakat Melayu dan Muallaf China Muslim perlu diubah dari demensi minda, emosi dan rohani. Perubahan ini perlu dibuat dari sikap dan tabiaat kedua pihak dengan cara dakwah amali dan dakwah billisan(lidah) ". Caranya ialah melalui program yang akan diadakan di masjid ini dan di tempat dakwah anjuran badan-badan dakwah lain.
             Kesimpulannya, kerjasama antara MACMA dan Masjid Syaidina Othman Ibn Affan dan badan dakwah lain akan dapat diteruskan masa hadapan demi untuk mengimarahkan masjid dan mengubah minda, emosi dan rohani semua orang muslim melalui program dakwah billisan dan bilhal (amal).

En Kamarudin, Dato' Hassan Ariffin, Dato Izzudin Chong bersama AJK Masjid.
Ahli MACMA, kakitangan Yayasan Pahang Plantation dan Jemaah Masjid Saidina Othman bergambar kenangan.
         



No comments: