Sunday, 19 January 2014

Perkara-Perkara Yang Pelik Tapi Benar Dalam Solat

                  
Perkara Yang Pelik Tetapi Benar Yang Terdapat Di Dalam Solat. Mungkin ada ramai yang sudah mengetahuinya dan mungkin ada yang belum mengetahuinya. Sebagai ilmu tambahan kepada yang tidak tahu dan sebagai tazkirah bagi mereka yang sudah mengetahuinya. Insya Allah.

Islam itu memudahkan penganutnya untuk melakukan Ibadah di dalam apa situasi dan keadaan. Sebagai contoh yang mudah, contoh yang popular dimana ramai orang mengetahuinya iaitu solat ketika sakit. Ramai orang tahu tentang bagaimana untuk mengerjakan solat ketika sakit, iaitu solat boleh didirikan dalam keadaan duduk, berbaring sehingga isyarat mata. Saya rasa pembaca sekalian juga tahu bukan? dan saya percaya ramai yang pernah mendirikan solat ketika duduk.
                          

Untuk makluman, artikel ini bukanlah bersumber dari Buku Pelik Tapi Benar Dalam Solat karya Ustaz Abdul Rahman Mohamed terbitan Telaga Biru Sdn Bhd, yang telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri sebagaimana yang dikeluarkan kenyataan oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Abdul Razak Abdul Latif. Beliau berkata "ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam serta dikhuatiri memudaratkan masyarakat", dengan berkemungkinan alasan bahawa masyarakat Malaysia hanya berfahaman Mazhab Syafii.

Di sini dicatatkan beberapa bahagian 'Perkara Yang Pelik Dalam Solat Tetapi Benar' menurut ulama Mazhab Syafii.

1. Tiga Rukun Fi’li
Solat makmum batal apabila tertinggal melebihi tiga rukun pergerakan (fi’li) dari Imam

2. Bab Qunut Subuh
Kes 1 Tidak Mengikut Qunut Subuh: Apabila Imam membaca qunut (pada subuh), makmum terus duduk tetapi tidak melakukan sujud, hanya sekadar menanti Imam menghabiskan qunut dan mula sujud apabila Imam telah sujud. Perkara ini tidak membatalkan solatnya.

Kes 2 Imam Tidak Qunut: Makmum yang melihat Imam tidak melakukan qunut dilarang sama sekali berqunut. Tidaklah wajib pula melakukan sujud sahwi jika Imam tidak melaksanakan sujud sahwi.

Kes 3 Berubah niat Qunut: Seorang yang bersembahyang seorang diri pada solat subuh, pada asalnya tidak ada niat untuk melakukan qunut, apabila iktidal pada rakaat kedua, tiba-tiba dia berubah niat untuk qunut, hukumnya makruh. Begitu juga sebaliknya. (Kitab Al-Umm Imam Syafii)

3. Takbiratulihram Bersama Imam
Rosaklah solat makmum jika takbiratulihram serentak dengan Imam walaupun Imam menamatkan takbiratulihram terlebih dahulu.
                     

4. Mentakhirkan Bacaan Al-Fatihah pada solat sir
Makmum disunatkan mentakhirkan bacaan Al-Fatihah di dalam solat sir (Zuhur dan Asar) bermaksud, makmum disunatkan menunggu beberapa ketika dan diyakini bahawa Imam telah pun selesai membaca Al-Fatihah, barulah makmum membaca surah Al-Fatihah. Peranan Imam di sini amat penting di mana Imam pula haruslah menunggu beberapa ketika hingga diyakini makmum dapat menghabiskan surah Al-Fatihah itu.

5. Sah Solat Dengan 4 Tahiyat
Hanya ada satu solat yang memiliki 4 tasyahud (tahiyat), iaitu apabila makmum masbuk mengikuti Imam solat maghrib yang berada pada rakaat kedua dan sedang memulakan tahiyat awal, maka itulah tahiyat pertamanya. Makmum masih ada 3 baki rakaat yang dikerjakan di mana pada rakaat pertamanya, dia mengikuti pula imam duduk tahiyat akhir. Itulah tahiyat keduanya. Pada rakaat keduanya, makmum duduk untuk tahiyat awal dan pada rakaat ketiganya makmum duduk untuk tahiyat akhir. Semuanya menjadikan 4 tahiyat pada makmum tersebut.

6. Jin Solat Jemaah, Gugur Fardu Kifayah
Jika jin menjelma sebagai manusia seramai 40 orang untuk solat Jumaat, maka gugur fardu kifayah sekampung.


7. Perbuatan Membaca Al-Quran Dengan Kuat Di Masjid
Meninggikan suara dalam membaca Al-Quran, Zikir, Doa dan sebagainya (sama ada suara yang kuat atau memainkan kaset dengan kuat atau dengan mikrofon) di dalam masjid adalah makruh hukumnya dan dilarang sama sekali seandainya terdapat orang yang sedang bersolat (sama ada solat wajib mahupun tahiyatul masjid). Perbuatan itu perlu ditegur (sama ada menegur pelakunya mahupun menegur bilal/tok siak yang memainkan kaset/mp3 melalui mikrofon)

8. Solat Musafir Bermula Saat..
Dua marhalah perjalanan melayakkan kita mendapat rukhsah solat musafir. Musafir bermula saat keluar dari kota/kampung. Walaupun bersandar di tembok kota yang dia ingin keluar itu, dia telah pun bergelar musafir. Tetapi apabila ia masuk semula ke kota/kampungnya, maka gugurlah musafirnya.

Bilangan hari = Dalam Shahih Sunan Abu Daud Kitab ash-Shalah, hadis no. 1235 disebut Nabi mengqasharkan solatnya selama 20 hari di Tabuk, dan 10 hari di Kota Mekah sebagaimana hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam sahihnya, hadis no. 1081. Juga di kalangan para Sahabat ada yang tetap mengqasharkan solat mereka di kawasan mereka bermukim yakni selama 40 hari di Syam (Miswar bin Makhramah dan Sa'ad), 6 bulan di Azerbaijan (Abd Allah Ibn Umar), ada yang dua tahun sebagaimana menurut Ibrahmim dan banyak lagi. Lihat Fiqh as-Sunnah jilid 1 oleh Syeikh Sayid Sabiq.

9. Qasar Solat hanya tidak lebih 3 hari 3 malam bermukim, kecuali...
Seseorang itu masih lagi musafir jika dia bermukim tidak lebih 3 hari 3 malam kecuali, dia mempunyai urusan penting dan dia yakin dapat menyelesaikannya urusannya dalam sehari (kerana pada kebiasaannya). Tetapi malangnya tidak selesai juga apabila sudah bermukim di tempat urusannya, kemudian dia lanjutkan ke hari kedua, masih tidak selesai juga, dia lanjutkan lagi dan keadaan ini berterusan selama 18 hari, maka selama itu dia masih boleh qasar solatnya. Untuk tujuan berperang fisabilillah pula, 20 hari hingga 6 bulan bergantung pada pergerakan musuh atau pergerakan pasukan tentera sendiri.


Dalam Shahih Muslim Kitab Shalat Musafiraini wa Qasharuha, hadis no. 691 menjelaskan Nabi melakukan qashar pada jarak perjalanan 3 mil atau 3 farsakh bersamaan dengan 16,623 meter (16km). Dalam hadis no. 690 pula sejauh 13km. Ringkas kata, boleh diqasharkan apabila kita keluar daripada daerah pemastautin kita, selagi mana lokasi yang kita tuju itu dilihat suatu yang berada di luar kebiasaan kita.

Adapun berkenaan hadis 2 marhalah atau 4 barid (81km) sebagaimana yang masyhur dalam masyarakat kita, ia tidak sabit daripada Nabi. Di dalam sanadnya terdapat Abd al-Wahab Mujahid bin Jubair, seorang yang matruk (tertolak) menurut al-Nawawi, juga terdapat padanya Ismail bin Iyash, seorang rawi yang dhaif. Yang benar riwayat itu adalah mauquf (terhenti pada ucapan Sahabat), yakni Ibnu Abbas. Sekalipun sahih namun ia tidak boleh membatalkan hadis yang datang daripada Sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam secara sahih lagi kuat. Ia hanyalah riwayat bersifat perkhabaran yakni mengkhabarkan keberadaan lokasi mereka itu melakukan Safar (2 marhalah), bukan nas yang menetapkan hukum iaitu mesti dengan jarak seperti itu.

10. Makmum masbuk dan muafik
Makmum Muafik ialah makmum yang sempat membaca Al-Fatihah ketika imam masih berdiri. Makmum yang tidak sempat membaca Al-Fatihah kerana suatu keuzuran disebut juga Muafik
Makmum masbuk ialah makmum yang tidak sempat membaca Al-Fatihah sebelum imam rukuk. Biasanya mereka berjemaah ketika imam rukuk atau sujud.

11. Di satu kariah terdapat banyak masjid, manakah masjid yang afdal Solat Jumaat?
Di satu kariah (contohnya negeri Melaka) terdapat banyak masjid hingga jarak masjid itu tidak lebih 2 km, sekiranya berlaku takbiratulihram Imam dua masjid serentak, kedua-duanya hendaklah mengulanginya semula. Jika tidak, kedua-dua masjid itu harus mengulanginya dengan solat Zuhur.

Adapun syarat untuk membina dua masjid di kariah yang sama ialah, terdapat jumlah makmum yang terlampau ramai (sehingga sekurang-kurangnya terkeluar dari dinding terakhir masjid atau terkeluar dari pagar masjid dan masjid yang keduanya juga begitu) dengan keperluan dan hajat yang mendesak. Jika syarat ini tidak dipenuhi, maka salah satu masjid sahaja dikira mendirikan solat Jumaat (yang mana takbiratulihram terlebih dahulu)

12. Batal Solat Makmum Yang Qari
Dalam solat Jahar (Subuh, Maghrib dan Isyak), tidak sah solat makmum yang qari (fasih bacaan, baik tajwidnya dan baik teranumnya) berimamkan Imam yang ummiy (buruk bacaannya). Makmum itu harus mengulangi solatnya semula kecuali apabila ia menyedari bahawa bacaan Al-Fatihah Imam itu buruk, lalu dia berniat mufaraqah, maka dia tidak perlu mengulangi solatnya. Adapun di dalam solat sir (Zuhur dan Asar), makmum yang qari tidak mengetahui bacaan imamnya, maka solat itu tetap sah.
Ini hanya berlaku dalam bacaan surah Al-Fatihah sahaja.

13. Sama-sama Ummiy, yang mana afdal jadi Imam
Pemilihan adalah berdasarkan siapa yang lebih baik akhlaknya kerana lebih afdal bersolat seorang diri daripada berimamkan orang yang fasiq

14. Imam Terlebih Rakaat
Makmum haruslah menunggu di tahiyat akhir dan batal solatnya jika dia mengikuti imam itu. Adapun, solat Imam itu tidaklah batal kerana boleh jadi ia terlupa rakaatnya.


15. Siapakah Yang Berdiri Belakang Imam?
Afdalnya, yang berdiri di belakang Imam adalah seorang makmum yang qari dan tahu hukum hakam dalam solat. Keadaan yang kerap berlaku ialah susunan saf di mana seorang pemerintah yang ummiy dibenarkan duduk di belakang Imam dan pembantunya yang ummiy juga berada belakang bersebelahan dengan pemerintah itu manakala makmum yang qari jauh melebihi 3 langkah dari imam. Susunan saf ini tidak betul dan pemerintah (yang ummiy) tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasanya untuk menyusun saf makmum.

16. Yang mana satu solat hendak didahulukan?
Seseorang sampai di masjid pada waktu Imam hendak melaksanakan solat Isyak, walhal makmum yang baru sampai masih belum solat maghrib. Diwajibkan solat maghrib terlebih dahulu bersama Imam dengan niat solat maghrib dan berhenti pada rakaat ketiga dan berniat mufaraqah lalu memberi salam. Kemudian barulah mengerjakan solat Isyak.

17. Mufaraqah (Berpisah dari Imam)
Di dalam Mazhab Maliki dan Hanafi, mufaraqah adalah dilarang dan hanya membenarkan mengulangi solat semula. Tetapi di dalam Mazhab Syafii (dan juga terpakai di dalam Mazhab Hambali), Syeikh Zainuddin Al-Malibari dalam kitabnya Fathul Mu'in mengatakan: "Niat Mufaraqah itu terkadang wajib, seperti makmum mengetahui ada hal-hal yang membatalkan solat imam, maka seketika itu pula ia wajib niat mufaraqah.

Jika tidak berniat mufaraqah, maka solatnya batal sekalipun tidak mengikuti imam. Keputusan hukum ini telah disepakati oleh para ulama, sebagaimana yang diterangkan dalam kitab Al-Majmu' Syarah Al-Muhadzdzah Imam Nawawi."

18. Tangan bersedekap di dada atau atas pusat atau bawah pusat?
Ketiga-tiganya ada nas dari hadis, ketiga-tiganya pernah dilakukan oleh rasulullah. Imam Syafii memilih meletakkan tangan di antara dada dan pusat.

19. Niat Sebelum solat
Kes 1: Seseorang berniat dengan mulut "aku mengerjakan solat asar" dan niatnya dalam hati ingin menjadi makmum,
Kes 2: Seseorang berniat dengan mulut "aku niat solat asar 4 rakaat, dan niatnya dalam hati ingin menjadi makmum
Kes 3: Seseorang berniat dengan mulut, "sahaja aku solat asar 4 rakaat tunai kerana Allah taala" dan niatnya dalam hati ingin menjadi makmum
Kes 4: Seseorang berniat dengan hati sahaja iaitu "sahaja aku solat asar 4 rakaat tunai mengikuti imam kerana Allah taala".
Kes 5: Seseorang itu mengetahui dia akan melaksanakan solat asar 4 rakaat dan ingin menjadi makmum. Dia terus berdiri mengikuti Imam dan bertakbiratulihram.

Kelima-lima orang ini sah solat asarnya dan menjadi makmum kepada imam yang diikutinya.

20. Congak kira-kira bagi mereka yang musafir.

Satu mil sama dengan satu batu.
Satu batu sama dengan 1609 meter.
Satu mil sama dengan 1.609 kilometer.
Satu farsakh sama dengan tiga mil.
Satu farsakh sama dengan 4827 meter atau
Satu farsakh bersamaan 5541 meter
Satu barid sama dengan 3 farsakh
Tiga farsakh bersamaan 16.623 kilo meter.
Satu burd sama dengan 4 farsakh
empat farsakh bersamaan 22.164 kilometer.
Enam belas farsakh bersamaan 48 mil
48 mil bersamaan 77.232 kilometer

Wallahu a’lam


No comments: