HUJAH DAN DALIL TENTANG KELEBIHAN MENGADAKAN SAMBUTAN MAULIDURRASUL DAN SANGGAHAN TERHADAPNYA
Segala puja dan puji bagi Allah Tuhan yang mengutus Nabi Muhammad untuk rahmat seluruh alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi yang terakhir Muhammad s.a.w. dan ke atas keluarganya serta para sahabatnya.
Hujah
dan dalil tentang kelebihan merayakan sambutan maulid yang dikemukakan
ini adalah diambil daripada satu risalah yang tersebar bertajuk
‘Maulidurrasul Dengan Dalil-Dalil Yang Nyata',
Sebenarnya
tidak ada satu pun dalil yang nyata samada al-Quran, as-Sunnah, ijma'
maupun qias, berkenaan dengan amalan merayakan hari kelahiran Nabi
Muhammad s.a.w.' Bahkan tidak ada seorang pun di kalangan ulamak ahlis
sunnah wal jamaah yang dahulu (salaf), bermula dengan para sahabat
Rasulullah s.a.w., kemudian diikuti oleh para ulamak di kalangan tabien
yang mengadakan sambutan maulidurrasul. Para imam mazhab empat, Imam Abu
Hanifah, Imam Malik, Imam As-Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal tidak
pernah mengadakan sambutan maulidurrasul. Demikianlah juga keadaannya,
para imam hadis yang terkenal seperti Bukhari, Muslim, Tarmizi, Ibnu
Majah, Abu Daud, Nasai dan lain-lain tidak pernah kedengaran mereka ini
telah mengadakan sambutan maulidurrasul sebagaimana yang diadakan
sekarang.
Ulamak
dan para Imam yang tersebut di atas adalah sudah diterima dan
disepakati oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia sebagai muktabar dan
pandangan serta mazhab mereka menjadi rujukan dan diamal oleh umat
Islam sehingga kini.
BERIKUT ADALAH SENARAI HUJJAH DAN DALIL YANG DIKEMUKAKAN SERTA JAWAPAN KEPADANYA
HUJAH PERTAMA:
Firman Allah yang bermaksud: “Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya
dan membantunya dan mengikut cahaya (al-Quran) yang diturunkan
bersamanya. Mereka itulah yang mendapat kejayaan.” (Surah al-A’raf,
Ayat:157)
JAWAPAN:
Kalimah
'membesarkan Nabi' dalam ayat ini tidak ada kaitan dengan sambutan
maulid yang diadakan. Tidak pernah didapati di dalam mana-mana kitab
tafsir yang menghubungkan ayat ini dengan maulidurrasul kerana tidak ada
seorang pun ulamak salaf dan para mufassir yang muktabar mentafsirkan
ayat ini dengan mengadakan maulid.
HUJAH KEDUA:
Firman Allah Taala yang bermaksud: “Sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka membesarkan itu ialah setengah daripada menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya.” (al-Haj : 32)
JAWAPAN:
Di
dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran yang ditulis
oleh Shaikh Abdullah bin Muhammad Basmih, cetakan keenam 1983,
terjemahannya adalah seperti berikut:
“Demikianlah
(ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah,
maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu
kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”
Maksud
“syiar-syiar agama Allah” ini dijelaskan di dalam nota kaki (hasyiah)
yang terdapat di dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman itu seperti berikut:
Syiar
artinya: Lambang. Syiar agama Allah atau Syiar Islam ialah: Amal ibadat
yang zahir dan benda-benda yang berhubung dengan ugama, yang
melambangkan ugama Allah. Misalnya di dalam ibadat haji ialah tawaf,
saie, berwuquf di Arafah dan sebagainya. Demikian juga binatang ternakan
yang dijadikan qurban atau yang dijadikan hadyah kepada faqir miskin
yang ada di Mekah.
Di
dalam huraian yang dibawa oleh penulis tafsir tersebut, syiar Agama
Allah tidak dimaksudkan dengan mengadakan maulid, bahkan dimaksudkan
dengan amalan ibadat haji itu sendiri iaitu Tawaf, Saie dan Wuquf. Untuk
keterangan lebih lanjut sila rujuk tafsir al-Azhar yang dikarang oleh
Prof. Dr. Hamka (buku ini boleh dibaca oleh semua orang samada yang
berkemampuan dalam bahasa Arab atau tidak). Bagi yang berkemampuan dalam
bahasa Arab, masih banyak lagi buku-buku tafsir yang boleh dirujuk
contohnya, Tafsir Ibnu Kasir, Qurtubi, al-Munir, al-Asas fi at-Tafsir
tulisan Said Hawa dan lain-lain. Boleh dipastikan kesemuanya tidak
menafsirkan “syiar-syiar agama Allah” ini dengan mengadakan
maulidurrasul.’
HUJAH KETIGA
Meriwayat Imam Bukhari dalam Sohihnya, begitu juga Imam Ismail dan Abdul Razak :
“Bahawa
diringankan azab Abi Lahab pada hari Isnin kerana memerdekakan Thuaibah
iaitu hamba yang menceritakan khabar gembira tentang kelahiran Nabi
s.a.w.”
JAWAPAN:
Dakwaan
bahawa hadis ini terdapat dalam Sohih Bukhari itu adalah palsu
semata-mata dan merupakan satu fitnah terhadap Imam Bukhari. Ianya juga
tidak terdapat di dalam riwayat Ismaieli dan Abdul Razak. Cuma Suhaifi
ada mengemukakan cerita ini tanpa menyebut sanad. Sila lihat Umdatul
Qari, karangan Badruddin Aini, juz. 20, halaman 95. Fathulbari, karangan
al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani, juzu’ 19, halaman 174 - 175. Serta
Raudhul Unuf, karangan as-Suhaili, juzu’ 5, halaman 191.
Apa
yang terdapat di dalam Sahih Bukhari hanyalah kata-kata ‘Urwah
berkenaan dengan Thuaibah pernah menyusukan Nabi s.a.w. setelah
dimerdekakan oleh Abu Lahab. Di sana ada satu riwayat lain yang
mengatakan Thuaibah tidak dimerdekakan pada hari kelahiran Nabi s.a.w.
bahkan ianya dimerdekakan selepas hijrah Nabi s.a.w. (Ibid, juzu’ 5,
halaman 191). Dan juga tidak terdapat kata-kata “Diringankan azab Abu
Lahab pada hari Isnin kerana memerdekakan Thuaibah” di dalam kata-kata
‘Urwah itu. Untuk keterangan lanjut, sila lihat Sahih Bukhari, Kitabun Nikah, Bab Wa Ummahatukumullati Ardha'nakum.
Patut
dijelaskan juga bahawa tidak ada seorang pun dari kalangan pensyarah
hadis ketika menghuraikan kata-kata ‘Urwah ini membuat kesimpulan dengan
menyambut maulidurrasul, seseorang muslim akan diringankan azabnya di
dalam neraka sebagaimana yang berlaku terhadap Abu Lahab. Jika timbul
pandangan yang menyatakan kelebihan maulidurrasul berasaskan kata-kata
‘Urwah itu maka jelaslah ianya tidak berpandukan pendapat ulamak
muktabar.
Berdasarkan kenyataan di atas juga kita akan mendapati maklumat berikut:
I. Kata-kata tersebut adalah semata-mata kata-kata ‘Urwah. Bukannya hadis Nabi. Lebih-lebih lagi ‘Urwah meriwayatkannya secara mursal.
Beliau tidak menceritakan daripada siapa beliau mengambil kata-kata
ini. Riwayat yang mursal tidak boleh dijadikan hujjah syari'yyah.
II. Peristiwa
diringankan azab Abu Lahab pada hari Isnin ini hanya mimpi Abbas
sewaktu belum memeluk Islam. Kenyataan ini juga tidak terdapat dalam
Sahih Bukhari. Ulamak sudah sepakat (ijma’) bahawa selain daripada mimpi
para Nabi, mimpi seseorang apalagi seorang kafir tidak boleh dijadikan
hujjah syar'iyyah, biar setinggi mana keimanan keilmuan dan
ketaqwaannya. Ulamak salaf dan khalaf juga berpendapat orang kafir tidak
diberi pahala di atas amalan baik yang dikerjakannya apabila mati di
dalam kekufurannya itu. Ini berdasarkan kepada firman Allah Taala yang
bermaksud:" Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan lalu kami
jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan." (al-Furqaan, ayat:
23)
HUJAH KEEMPAT
Diriwayatkan
daripada Qatadah al-Ansori, Bahawasanya Nabi ditanya tentang berpuasa
hari Isnin, berkata Nabi s.a.w: “Itulah hari yang dilahirkan aku padanya
dan diturunkan kenabian ke atasku.”
JAWAPAN:
Hadis
ini langsung tidak membicarakan tentang terdapatnya sebarang kelebihan
mengadakan 'Maulid' bahkan ianya berkaitan dengan berpuasa sunat hari
Isnin. Amalan inilah yang sepatutnya dianjur dan diwar-warkan di
kalangan umat Islam kerana sudah jelas nas dan dalil tentang
kelebihannya. Sebaliknya realiti hari ini menunjukkan masyarakat lebih
cenderung menjadi pak turut ketika melaksanakan amalan agama dan
bukannya berusaha mengkaji serta menyelidik agar ianya menepati sunnah
Rasul s.a.w.
HUJAH KELIMA
Orang
yang pertama merayakan maulid adalah sultan yang dikatakan seorang raja
yang adil, warak, zuhud dan alim – Sultan Ibnu Malik al-Muzaffar –
sehinggakan ulamak-ulamak yang muktabar didakwa telah menghadiri majlis
maulidnya. Malah ulamak besar Syeikh Abu Khattab Ibnu Dihyah telah
mengarang kitab Al-Tanwir yang membicarakan amalan maulid.
JAWAPAN:
Raja
ini (wafat 630 H) bukanlah seperti yang didakwa itu bahkan dia seorang
yang pemboros, pembazir harta rakyat dan zalim. Dialah raja yang pertama
mengada-adakan (bid’ah) perayaan maulid nabi sehingga terbantut segala
kegiatan ekonomi masyarakat, kerana perayaan ini dilakukan secara
besar-besaran bermula dari bulan Safar lagi. Sambutan ini disertakan
dengan nyanyian, permainan, dan berbagai-bagai bentuk hiburan. Lihat
Mu’jamul Buldan jilid 1 ms 87 karangan Yaaqut al-Hamawi, Al-Qaulul
Muktamad karangan Imam Ahmad b Muhammad Misri al-Maliki, Wafayatul A’yan
karangan Ibnu Khallikan dan Duwalul Islam karangan Imam Zahabi.
Ada
diberitakan bahawa Imam Suyuti pernah memuji raja tersebut. Namun
begitu adalah perlu dijelaskan bahawa Imam Suyuti bukannya hidup di
zaman Sultan Ibnu Malik al-Muzaffar. Kalau Suyuti memuji raja ini
bagaimana pula dengan ulamak-ulamak lain terutamanya Yaqut yang hidup
sezaman dengan Raja Muzaffar itu sendiri. Siapakah agaknya lebih tahu
tentang raja itu; Yaqut atau Suyuti?
Berkenaan
Syeikh Abu Khattab Ibnu Dihyah pula, Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani
menulis di dalam Lisanul Mizan jilid 4 ms 296 bahawa: “Dia seorang yang
suka memburuk-burukkan imam-imam dan ulamak-ulamak salaf (bermulut
hodoh), dungu, sangat sombong, dangkal dan alpa dalam hal-hal agama.”
Hafiz Ibnu Hajar menulis lagi tentangnya; Ibnu Najjar berkata: “Saya
melihat ulamak bersepakat tentang dusta dan kelemahannya.” (Ibid ms 295)
Adalah
amat tidak tepat untuk mengatakan Syeikh Abu Khattab Ibnu Dihyah
seorang ulamak yang besar. Kenyataan ulamak-ulamak di atas membuktikan
bahawa beliau langsung tidak layak dibuat panduan dan pedoman dalam
membicarakan masalah maulid ini. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan
ulamak seperti inilah yang sentiasa bersedia menjadi pengampu dan
pembodek raja yang zalim!
HUJAH KEENAM
Diriwayatkan
daripada Abu Hurairah: Bersabda Rasulullah: “Tidak berhimpun satu
perhimpunan pada satu majlis di dalam masjid daripada masjid-masjid
Allah, lalu mereka membaca al-Quran dan bertadarus sesama mereka,
melainkan turun ke atas mereka ketenangan yang diselubungi rahmat Allah
serta dilingkungi para malaikat di sisinya.” (Sohih Muslim).
JAWAPAN
Hadis
ini tidak menyentuh atau membicarakan soal atau kelebihan
Maulidurrasul, bahkan hadis ini menyentuh fadhilat membaca al-Quran. Ini
telah disepakati bahawa ianya sabit dan tidak ada apa yang hendak
dibantah lagi. Yang mahu dipersoalkan adalah perayaan menyambut
maulidurrasul dan bukannya membaca al-Quran.
HUJAH KETUJUH
Bersabda
Nabi s.a.w: “Tidaklah berhimpun satu perhimpunan di dalam suatu majlis
lalu mereka tidak berzikir mengingati Allah dan tidak berselawat ke
atasku, melainkan kekurangan dan penyesalan ke atas mereka di hari
Qiamat.”
JAWAPAN
Hadis inipun tidak ada kena mengena dengan maulidurrasul, dan tidak ada kena mengena dengan berdiri sewaktu berselawat.
HUJAH KELAPAN
Firman
Allah Taala: “Kami ceritakan kepada engkau setiap perkhabaran daripada
kisah-kisah Nabi yang menguatkan hati engkau dengannya dan datang kepada
engkau dalam perkhabaran ini, kebenaran, pengajaran dan peringatan bagi
orang yang beriman.” (Hud: 120).
JAWAPAN:
Apa
yang ingin dipersoal dan dipertikaikan adalah membuat atau mengadakan
sambutan maulidurrasul dan bukannya pengisian di dalam sambutan
tersebut.
HUJAH KESEMBILAN
Meriwayatkan
Imam Ahmad dan Hakim daripada Suhaib, Nabi bersabda: “Seseorang yang
terlebih baik di antara kamu ialah mereka yang menjamu makanan dan
menjawab salam.” Berkata al-lraqi hadis ini sahih sanadnya. Meriwayat
Tirmizi: “Bahawa sahabat-sahabat Nabi tidak bersurai mereka daripada
majlis bertilawah al-Quran dan berzikir, melainkan selepas menikmati
jamuan.”
JAWAPAN:
Hujah
ini sebagaimana tiga hujah sebelumnya seolah-olah ingin menyatakan
bahawa apalah salahnya merayakan maulidurrasul kerana maulid itu
pengisiannya ialah selawat, berzanji, membaca rawi, berzikir, membaca
al-Quran dan makan minum. Semua perbuatan tersebut adalah ibadah dan
mendatangkan pahala. Jadi kenapakah sambutan yang pengisiannya sebaik
ini dikatakan bidaah? Adakah membaca al-Quran, berzikir dan berselawat
itu bidaah?
Hujah-hujah
yang seumpama ini kelihatannya dikemukakan supaya fokus sebenar kepada
permasalahan ini dilencongkan. Yang dipersoalkan adalah menyambut maulid
itu sendiri; adakah ianya pernah dilakukan oleh sahabat, tabien dan
para ulamak salafussoleh? Jawabnya tidak pernah.
Dl ANTARA SEBAB MENGAPAKAH MASYARAKAT KITA BEGITU GHAIRAH MENGADAKAN SAMBUTAN MAULIDURRASUL
Banyak
faktor yang menyebabkan masyarakat kita begitu ghairah mengadakan
sambutan maulidurrasul, sehingga ada di kalangan mereka sanggup
menyembelih beberapa ekor lembu dengan harapan akan mendapat ganjaran
yang besar daripada Allah s.w.t. Hal ini terutamanya disebabkan oleh
tersebarnya hadis-hadis dan kata-kata sahabat yang palsu (maudhu’)
berkenaan dengan kelebihan menyambut perayaan maulidurrasul.
Lebih mendukacitakan bilamana tersebarnya sebuah buku karangan seorang ulamak yang agak terkenal bertajuk 'Hukum Mengerjakan Maulud Dalam Islam'.
Buku ini didapati telah memuatkan sekian banyak hadis-hadis maudhu` dan
kata-kata yang mana pengarangnya dengan begitu berani menyandarkan
kata-kata tersebut kepada Nabi s.a.w., Khulafa’ ar-Rashidin dan Imam
Syafi`e. Di antara kata-kata tersebut ialah:
1) Kata Saidina Abu Bakar r.a. yang bermaksud:
“Barang siapa membelanja ia satu dirham pada perbuatan Maulud Nabi s.a.w. nescaya adalah ia menjadi taulan dalam syurga.”
2) Kata Saidina Umar r.a. yang bermaksud:
“Barang siapa membesar ia akan maulud Nabi s.a.w. maka sesungguhnya telah menghidup ia akan Islam.”
3) Kata Saidina Othman r.a. yang bermaksud:
“Barang
siapa yang membelanja akan ia satu dirham atas membaca kisah Maulud
Nabi s.a.w. maka seolah-olah hadir ia perang Badar dan Hunain.”
4) Kata Saidina Ali r.a. yang bermaksud:
“Barang siapa membesar ia akan Maulud Nabi s.a.w. nescaya tidak keluar ia daripada dunia melainkan dengan iman.”
5) Kata Imam Syafie r.a. yang bermaksud :
“Barang
siapa menghimpun ia akan saudaranya yang muslimin kerana memperbuatkan
Maulud Nabi s.a.w. dan menyediakan bagi mereka itu makanan dan minuman
dan memperbuat ia akan kebajikan nescaya membangkit oleh Allah Taala
akan dia pada hari kiamat berserta siddiqin dan syuhadat dan adalah ia
dalam syurga Jannatunnaim.”
Fitnah
yang disandarkan terhadap sahabat dan Imam Syafie ini sebenarnya
disadur daripada sebuah kitab yang dianggap panduan utama di dalam hal
ini iaitu Madarijussu'ud. Malah di dalamnya boleh didapati hadis-hadis
rekaan antaranya sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
"Siapa
yang membesarkan maulidku aku akan memberi syafaat kepadanya pada hari
kiamat nanti dan siapa yang membelanjakan satu dirham kerana maulidku
maka seolah-olah dia telah membelanjakan emas sebesar Bukit Uhud di
jalan Allah.”
Kesemua
kata-kata atau hadis yang dikemukakan di atas adalah palsu semata-mata.
Kalau benar kata-kata tersebut keluar daripada mulut sahabat, kenapa
para sahabat tidak pernah membuat perayaan menyambut maulidurrasul.
Sedangkan para sahabatlah orang yang paling dekat dan paling kuat
mencintai Nabi s.a.w. Para sahabat itu bukanlah satu golongan yang hanya
tahu bercakap kosong sahaja. Keimanan dan kecintaan mereka terhadap
Allah dan RasulNya telah termaktub dan diiktiraf oleh Allah s.w.t. Jika
mereka hanya pandai menyuruh orang lain membuat perayaan maulid
sedangkan mereka sendiri tidak membuatnya maka jadilah sahabat Nabi
s.a.w. termasuk di dalam firman Allah yang bermaksud :
“Patutkah
kamu menyuruh orang membuat kebaikan sedangkan kamu lupa akan diri kamu
sendiri, padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu
berakal.” (Surah al-Baqarah. ayat: 44)
Na'uzubillah....... Sekali-kali para sahabat tidak tergolong dalam ayat ini.
Terdapat
para pencinta dan pengamal maulid ini yang mengakui bahawa maulid ini
adalah bid'ah, tetapi mereka mengatakannya termasuk di dalam bid'ah
hasanah. Mereka mendakwa walaupun tidak ada nas-nas al-Quran, al-Hadis
atau Ijmak tetapi terdapat qias yang mengharuskannya. Dakwaan mereka ini
sudah bertentangan dengan golongan yang cuba mensabitkan maulid dengan
kata-kata dan hadis palsu tadi kerana apa perlunya qias kalau sudah ada
kata-kata sahabat seperti tersebut di atas. Bukankah apa yang didakwa
sebagai kata-kata sahabat tadi adalah merupakan nas yang terang dan
jelas? Golongan ini sebenarnya lebih berhati-hati kerana mereka melihat
Imam Suyuthi juga menafikan akan terdapatnya nas sebegini. Walaupun
demikian sikap diam diri mereka terhadap nas-nas palsu yang diutarakan
tadi seolah-oleh membayangkan mereka sanggup membiarkan peribadi Nabi
dan sahabat dicerobohi semata-mata demi memastikan sambutan maulid ini
terus subur dan berkekalan.
Hadis yang digunakan sebagai rujukan qias untuk mensabitkan maulud itu adalah sepertimana di bawah:
Hadis itu bermaksud:
"Bahawasanya
Nabi s.a.w. datang ke Madinah maka baginda dapati orang Yahudi berpuasa
pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharram. Maka Nabi bertanya kepada
orang Yahudi itu, “Kerana apa kamu berpuasa pada hari Asyura?” Jawab
mereka, “Itu adalah hari peringatan. Pada hari ini dikaramkan Fir’aun
dan pada hari ini juga Musa dapat kelepasan. Dan kami berpuasa kerana
bersyukur kepada Tuhan.” Maka Nabi menjawab, “Kami lebih patut
menghormati Musa berbanding daripada kamu.”
Qias yang seperti ini sebenarnya dinamakan qias ma'al fariq
(qias dengan sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan apa yang
didakwakan) kerana di dalam hadis tersebut Nabi s.a.w. berpuasa pada
hari 10 Muharram itu sepertimana orang-orang Yahudi berpuasa sebagai
menyatakan kesyukuran. Sedangkan maulidurrasul sekarang ini disambut
dengan berbagai-bagai acara terutama sekali jamuan makan minum dan
bukannya masing-masing akan berpuasa. Tetapi adakah wajar untuk berpuasa
sebagai merayakan hari kelahiran Nabi s.a.w. itu dan kalau kita
berpuasa pada hari itu apa ertinya berpuasa pada hari perayaan?
Lebih-lebih lagi jika mahu diikutkan orang-orang Yahudi bersyukur kerana
kelepasan Nabi Musa daripada bencana Fir’aun, bukannya kerana menyambut
hari kelahiran Nabi Musa a.s.
Daripada
perbincangan yang lalu dapat kita melihat bagaimana untuk menegakkan
dan mempertahankan sambutan ini, mereka yang berkenaan terpaksa berdusta
dan mengemukakan dalil-dalil serta hujah-hujah yang terdiri daripada
nas-nas palsu dan langsung tidak bertepatan dengan syarak.
Sebagai
mengakhiri risalah ini marilah kita menjauhi amalan-amalan bid'ah
seperti maulid ini kerana ia jelas tidak bersumberkan nas-nas yang
terang dalam syariat dan marilah sama-sama mengikut Al-Quran, Sunnah
Nabi dan juga Sunnah Para Sahabat sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang
bermaksud:
"Sesungguhnya
sesiapa yang akan hidup daripada kamu selepasku, dia pasti akan melihat
banyak perselisihan. Oleh itu, mestilah kamu berpegang dengan sunnahku
dan sunnah Khulafaurrasyidin yang terpimpin. Berpegang teguhlah
dengannya dan gigitlah dengan geraham-geraham kamu. Hindarilah
perkara-perkara baru (dalam urusan ugama) kerana semua perkara baru
(dalam ugama) itu bid'ah dan semua bid'ah itu adalah sesat."
(Riwayat Tirmizi j.2 ms.92, Abu Daud j.2 ms.279 dan lain-lain)
Demikianlah
sanggahan terhadap hujah dan dalil tentang kelebihan mengadakan
sambutan Maulidurrasul ini. Insya-Allah lain hari, di lain waktu akan
dikemukakan pula hujjah-hujjah para Ulamak Mu'tabar yang menentang
amalan sambutan maulidurrasul ini. Sekian, wabillahittaufiq wal hidayah
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment