Jawaban
balas oleh Panel Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS, ketika
menjawab tuduhan Ustaz Farid Ravi didalam tulisannya dalam salah buah
akhbar arus perdana :
PANDANGAN MENGENAI STATUS IBU BAPA NABI MUHAMMAD S.A.W. MATI
DALAM KEADAAN KAFIR ATAU SEBALIKNYA
ISU DAN MASALAH
Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menerima surat aduan bertulis mengenai status keislaman ibu bapa Nabi Muhammad S.A.W yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan bertarikh 30 April 2010 (Jumaat). Persoalan tersebut telah dijawab secara panjang lebar oleh seorang pendakwah dari sebuah IPTS. Dengan menggunakan hujah beberapa hadith, pendakwah tersebut menyimpulkan bahawa ibu
Nabi (Aminah) dan bapa Nabi (Abdullah) mati dalam keadaan bukan dalam
Islam dan kedua-duanya akan masuk api neraka dan diazab.
Berikutan penjelasan isu di atas, ianya telah menimbulkan sensitif di kalangan umat Islam dan terdapat rungutan supaya jawapan tersebut dikaji semula. Berikut adalah sanggahan terhadap isu tersebut.
PENJELASAN MENGENAI HADITH BERKAITAN BAPA NABI DI DALAM NERAKA
Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz:
Daripada Hammad ibn Salamah daripada Thabit, daripada Anas ibn Malik RA: “Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah S.A.W. "Wahai Rasulullah! Di manakah bapaku?" Rasulullah S.A.W.
menjawab, "Di dalam neraka." Tatkala lelaki tersebut berpaling,
Rasulullah S.A.W. memanggilnya lalu berkata, "Sesungguhnya bapaku dan
bapamu di dalam neraka.”
Keterangan daripada pendakwah tersebut menterjemahkan maksud lafaz hadith secara harfiah: “Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka.” Tanpa meneliti dengan lebih mendalam pelbagai disiplin ilmu, maka dengan tergesagesa beliau menyatakan bahawa ayahanda Nabi mati dalam kekufuran.
Bahagian Penyelidikan
& Pembangunan, JAIS menyanggah pandangan tersebut di atas. Jika
diteliti dalam kesepakatan para ahli hadith, mereka mengesahkan bahawa
lelaki yang bertanya kepada Rasulullah S.A.W. itu ialah seorang A’rabi
(Badwi). Pendapat ini disepakati berdasarkan hadith yang menceritakan
kisah yang sama, yang diriwayatkan oleh Mu’ammar daripada Thabit.
Tetapi, perbezaan di antara kedua-dua jalan ialah hadith yang
diriwayatkan melalui jalan Mu’ammar tidak mempunyai lafaz:
إِنﱠ أَﺑِﻲوَ أَﺑَﺎكَ ﻓِﻲاﻟﻧﱠﺎرِ
Maksudnya : “Sesungguhnya bapaku dan bapa kamu di dalam neraka.”
Berdasarkan maksud hadith berkenaan jelaslah bahawa lafaz di atas tidak disepakati oleh para perawi hadith.
Hadith
yang diriwayatkan oleh Mu’ammar tanpa lafaz tersebut lebih diyakini
dari aspek riwayat dan lafaz, menurut ahli hadith, Mu’ammar adalah
seorang yang lebih terpelihara hafazannya dan dia tidak menerima
sebarang kritikan dari ulama Jarah dan Ta’dil. Tambahan lagi al-Bukhari
dan Muslim bersepakat dalam menyatakan keyakinan mereka terhadap
Mu’ammar. Ini berbeza dengan situasi Hammad yang hanya diyakini oleh
Muslim tetapi tidak di sisi al-Bukhari.
Katakanlah lafaz Hammad ibn Salamah dalam Sahih Muslim di atas adalah dari lafaz Nabi S.A.W. sendiri, maka ia tidak juga boleh dijadikan sandaran dalam menghukum kekufuran ayah Nabi S.A.W. kerana ‘illah dari aspek matan menunjukkan bagaimana Rasulullah S.A.W. menggunakan teknik dan kaedah yang membawa erti kesamaran supaya keadaan menjadi lebih tenang dan terkawal. Rasulullah S.A.W. menggunakan lafaz persamaan kedudukan bagi kedua-dua bapa untuk tujuan-tujuan tertentu.
Di antaranya:
a) Tujuan menyemarakkan semangat mendalami ajaran Islam.
Apabila Rasulullah S.A.W. menyatakan persamaan kedudukan kedua-dua bapa mereka di dalam neraka, wujud persamaan dan tautan hati lelaki A’rabi terhadap Rasulullah S.A.W. dan lebih bersemangat untuk mendalami ajaran Islam.
b) Tujuan mengelak kontroversi ke agama asal.
Sekiranya Rasulullah S.A.W. menyatakan bahawa bapa A’rabi tersebut di dalam neraka, sedangkan bapa Baginda S.A.W. di dalam syurga, maka lelaki A’rabi
itu akan merasakan jurang perbezaan di antara mereka berdua dan
dikhuatiri perkara ini akan menyebabkan lelaki A’rabi tersebut menjauhi
Islam serta kembali murtad.
c) Tujuan menang-menang.
Sekiranya Rasulullah S.A.W. membezakan kesudahan bagi kedua-duanya, dikhuatiri lelaki A’rabi yang terkenal dengan sikap degil dan keras hati akan mengeluarkan kata-kata sumpahan dan cacimaki terhadap Rasulullah S.A.W. yang bakal mengundang laknat dan kemurkaan Allah S.W.T.
d) Tujuan dakwah secara bijaksana.
Teknik
yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. bertujuan untuk mengelakkan
fitnah dan sebarang kejadian yang tidak diingini terhadap kaum A’rabi
dan kaum kerabatnya. Ini juga bertujuan untuk menarik lebih ramai kaum
kerabat lelaki A’rabi tersebut memeluk Islam.
Sekiranya dikaji dengan lebih luas lagi, terdapat banyak lafaz-lafaz dari hadith Nabi S.A.W. yang menunjukkan gaya kaedah sebegini. Kerana Nabi S.A.W. adalah seorang yang bijak dalam berdakwah dan berbicara dengan manusia sekadar mana pencapaian akal para pendengarnya.
Apabila
berurusan dan berbicara dengan orang Arab Badwi, maka mu’amalah Nabi
S.A.W. lebih lembut, mengalah, bertolak ansur dan lunak berbanding
dengan mereka yang telah lama memahami serta mendalami Islam.
Selanjutnya jika dikaji secara teliti, terdapat pandangan daripada Hafiz al-Suyuti mengatakan bahawa hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini diriwayatkan oleh Hammad ibn Salamah dengan makna, bukan dengan lafaz.
Manakala lafaz itu berbunyi :
إِنﱠ أَﺑِﻲوَ أَﺑَﺎكَ ﻓِﻲاﻟﻧﱠﺎرِ
Ianya
merupakan lafaz yang tidak disepakati oleh para perawi dari jalan
hadith yang lain. Berdasarkan riwayat Mu’ammar daripada Thabit pula,
tidak kedapatan lafaz di atas, akan tetapi diriwayatkan dengan lafaz
yang lebih umum.
Dalam riwayat yang lain, dikeluarkan oleh al-Bazzar dalam Musnadnya dan alTabrani di dalam kitab al-Mu’jam al-Kabir dengan sanad rijal yang sahih, daripada Sa’ad ibn Abi Waqqas :
Maksudnya, “Sesungguhnya seorang A’rabi datang bertemu Nabi S.A.W. lalu bertanya, "Wahai Rasulullah! Di manakah bapaku?" Rasulullah S.A.W. menjawab, "Di dalam neraka." Maka lelaki Badwi tadi bertanya pula, "Di mana pula bapamu?" Rasulullah S.A.W. menjawab, "Tatkala kamu berjalan berhampiran kubur seorang kafir, beritakan kepadanya bahawa dia di dalam neraka.”
Hadith yang diriwayatkan dari Sa’ad ibn Waqqas ini secara jelas menerangkan bahawa lelaki yang bertanya soalan kepada Rasulullah S.A.W. ini adalah seorang badwi. Disebabkan oleh Badwi tersebut dikhuatiri akan murtad kerana
imannya belum mantap, kefahamannya mengenai Islam masih cetek. Kerana
itu, secara psikologi Rasulullah S.A.W. menjawab sedemikian.
Para ulama menyatakan bahawa lafaz “Abi” di dalam riwayat Muslim bukanlah ditujukan kepada Abdullah kerana tradisi masyarakat Arab ialah mereka
memanggil ayah, bapa saudara dan datuk dengan gelaran “Abi”. Ini yang
harus difahami dengan jelas oleh para penafsir hadith.
RUMUSAN
Jika
diteliti kesimpulan yang diberikan oleh pendakwah dari IPTS itu, beliau
menegaskan bahawa berdasarkan hadith-hadith sahih yang dipetik dari
Bukhari dan Muslim, jelaslah ibu bapa Nabi meninggal dunia berstatus
kafir. Walaupun hadith tersebut sahih
dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa teks hadith
ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ia adalah suatu yang
biasa berlaku ketika penafsir berinteraksi dengan hadith. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadith. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadith itu sendiri yang perlu dipatuhi.
Berdasarkan kaedah-kaedah dalam memahami sesuatu teks hadith, jelaslah bahawa penafsiran hadith di
atas tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi S.A.W. kufur
dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadith ini tidak boleh diterima
kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran. Antaranya, ayat-ayat
yang mensabitkan bahawa Nabi S.A.W. adalah berasal daripada keturunan
yang mulia dan terpelihara seperti dalam Surah al-Syu’ara' 26 : 219 yang
bermaksud, "dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang
sujud". Ibnu 'Abbas r.a, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar,
al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi,
berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi sa.w. telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi di kalangan nenek moyang yang sujud dan beriman.
Maksud zahir hadith ini juga bertentangan dengan nas-nas al-Quran.
Hal ini menurut satu kaedah
bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan
para rasul-Nya untuk menyampaikan agama yang benar. Lihat al-Qur’an
Surah al-Isrā' 17 : 15, Surah al-An’ām 6 : 131, Surah al-Syu’arā'
26 : 208 dan Surah al-Nisā' 4 : 165. Terdapat pula ayat-ayat yang
menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad
S.A.W. sebelum kebangkitan Baginda. Lihat juga Surah Sabā' 34 : 44 dan
Surah al-Qasas 28 : 46. Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah
kedua-dua ibu dan bapa Nabi S.A.W. sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul, menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.
Adalah
menjadi suatu kewajipan bagi semua umat Islam termasuk para pendakwah
hendaklah meneliti sesuatu hukum itu dengan mendalam dan mengambil kira
kesan positif terhadap umat Islam sejagat. Pandangan yang
bersifat membina kekuatan umat Islam lebih afdal berbanding mengeluarkan
sesuatu kenyataan yang bersifat merendahkan maruah umat Islam di
kalangan bukan Islam. Adalah lebih baik dan
berakhlak dengan mencontohi akhlak seperti yang ditunjukan dalam
al-Qur`an. Jika diteliti dalam al-Qur`an, terdapat satu ayat berbunyi
dengan maksudnya “Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah
dan RasulNya, mereka dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat serta
disediakan bagi mereka azab yang menghinakan.”
Dalam satu kenyataan yang lain disebut : Dan tiadalah perkara yang lebih menyakitkan Rasulullah S.A.W. selain menyatakan bapa Baginda diazab di dalam neraka. Berdasarkan maksud ayat di atas dapatlah difahamkan bahawa umat Islam diperintahkan supaya sentiasa menjaga adab dan menghormati Nabi S.A.W. dan ahli keluarga termasuk kedua ibu bapanya.
Umat Islam tidak dibenarkan untuk menyakiti hati Rasulullah S.A.W. dengan mengeluarkan apa-apa kenyataan sama ada secara tulisan mahupun secara lisan. Adalah amat tidak beradab bagi orang yang sanggup mengeluarkan kata-kata yang secara langsung menyakiti ibu bapa Rasulullah S.A.W. dengan berpandukan hadith-hadith seperti yang dinyatakan di atas.
Justeru, JAIS berpandangan, ibu bapa Rasulullah S.A.W.
mati dalam keadaan tidak diazab dan tidak dimasukkan dalam neraka
kerana berpandukan ayat al-Qur`an Surah Al-Isra 17 : 16 yang maksudnya :
“Dan Kami tidak akan mengazab seseorang pun kecuali telah sampai
padanya utusan (dakwah) dan dia enggan menerima”.
Dalam istilah yang lebih mudah difahami, dapat dikatakan bahawa kedua ibu bapa Nabi Muhammad iaitu Aminah dan Abdullah termasuk dalam golongan ahli fatrah iaitu golongan manusia yang tidak sampai dakwah dan golongan tersebut tidak diazab oleh Allah S.W.T. Sementara
itu, kebanyakan ulama Shafie berpendapat bahawa ibu bapa Nabi dan ahli
keluarganya sebelum kedatangan Islam, adalah berpandukan kepada agama
al-Hanifiyyah dan tiada bukti mereka menyembah berhala. Sila lihat Fatwa Mantan Mufti Mesir Asy-Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’iy dalam Al-Fatawa Al-Islamiyyah, 1982.
PENUTUP
Adalah dicadangkan supaya umat
Islam tidak membincangkan hadith-hadith yang menjurus kepada timbulnya
isu percanggahan pendapat di kalangan para ulama secara terbuka.
Dikhuatiri ianya boleh memberi impak negatif terhadap masyarakat awam
yang kurang memahami tentang percanggahan pendapat tersebut.
Perbincangan ilmiah berkaitan sesuatu hadith secara tertutup sama ada di kalangan pelajar atau golongan
akademi adalah sesuatu yang amat digalakkan, tetapi perbincangan secara
terbuka khususnya melalui media massa seperti surat khabar dan
sebagainya tidak digalakkan dan hendaklah dihentikan serta merta !
Semua
pihak hendaklah berhati-hati dengan mana-mana media yang didapati
mempunyai tendensi yang kuat bagi membuka ruang dan peluang memperagakan
lslam dengan permasalahan remeh temeh dan sensitif.
Disediakan oleh,
Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan
Jabatan Agama Islam Selangor
Pada: 3 Jun 2010 / 20 Jamadilakhir 1431H
اللــــــــهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد
No comments:
Post a Comment