Saturday 22 March 2014

Dosa-Dosa Yang Dipandang Ringan (1)

        Firman Allah s.w.t  dalam  surah Al Nur ayat 15 bermaksud:"...dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya."Ayat ini menjelaskan bagaimana tanggapan orang-orang munafiq terhadap kesalahan mereka berhubung menyebarkan fitnah terhadap Aisyah radiayallahu anha,pada mereka ia adalah perkara kecil dan remeh sedangkan disisi Allah s.w.t ia adalah satu dosa besar.
      Begitu jugalah dalam kehidupan kita, kewajipan kepada kita adalah mengambil iktibar dari peringatan Allah s.w.t ini iaitu janganlah kita menganggap sesuatu dosa itu berdasarkan nilaian hawa nafsu kita tetapi sepatutnya yang menjadi neraca penilaian kita ialah betapa kemurkaan Allah s.w.t terhadap sesuatu dosa itu.
      Maka disini dihimpunkan beberapa perkara dari jenis-jenis dosa yang dipandang     mudah atau ringan sedangkan ia sebenarnya adalah berat dan besar disisi Allah s.w.t. :

Mempercayai Dan Meyakini Akan Ramalan Bintang
      Ketika nabi s.a.w selesai solat subuh pada satu pagi yang telah hujan pada malamnya sebagaimana yang di riwayat dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny, dia berkata : Rasulullah SAW telah bersabda mafhumnya :“Diantara hamba-hambaku ada yang beriman dan ada yang kufur kepadaku. Orang yang mengatakan,’Kami dihujani dengan kurnian dan rahmat Allah’, berarti dia beriman kepadaku dan kufur kepada (ramalan) bintang,dan orang yang mengatakan kami dihujani dengan kedudukan bintang itu dan bintang itu,maka dia telah kufur kepada Ku dan beriman dengan bintang” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhary)
      Apa yang lebih menarik lagi ramalan ini diberi nafas baru agar lebih menarik yang dikenali dengan Horoskop,ia diketengahkan dalam berbagai kategori,seperti horoskop cinta atau
jodoh,horoskop persahabatan dan pekerjaan serta bermacam-macam lagi yang mana asasnya adalah terletak pada ramalan bintang-bintang tertentu.
      Ia juga sangat mudah untuk didapatinya samada dalam akhbar-akhbar atau majalah-majalah bahkan boleh disalurkan terus melalui telefon bimbit.Sesiapa mempercayai pengaruh ramalan ini, maka dia seorang musyrik. Jika hanya membacanya saja untuk sekadar menghiburkan diri, bererti dia seorang pelaku kema’siatan yang berhak mendapat dosa. Adalah menjadi satu larangan  berhibur dengan sesuatu yang boleh membawa    kepada syirik. Kerana dibimbangi hati yang terbiasa dengan perkara tersebut lambat laun mencambahkan keyakinan padanya disamping peranan yang dimainkan oleh syaitan.
     Nabi s.a.w melarang dalam kedua-dua keadaan samada mendatangi ahli nujum atau tukang ramal dan mempercayai mereka atau pun tidak maka keduannya termasuk didalam melakukan dosa besar namun begitu yang lebih besar ialah mempercayai    dan membenarkan ramalan-ramalan tersebut kerana ia termasuk dalam mensyirikkan Allah s.w.t

BERSAMBUNG
IMAM 3MBR

No comments: