Saturday 8 February 2014

MEROTAN DALAM ISLAM


Islam sebagai agama yang membawa rahmat dengan  syariat yang menyeluruh menyinari kehidupan manusia.Keyakinan ini membawa kita agar sentiasa ingin kembali kepada islam dari sekecil-kecil perkara kepada sebesar-besar urusan.
 Pendidikan adalah satu jalan yang utama untuk mengembalikan manusia kepada fitrah yang patuh dan taat kepada Allah dengan menjadikan islam sebagai cara hidup.Namun begitu dalam mendidik kita akan berhadapan dengan cabaran-cabaran yang jika tidak ditangani dengan betul akan membawa implikasi yang negatif  bukan sahaja kepada pendidik malah kepada kesyumulan islam itu sendiri.
Dalam menghadapi cabaran dalam pendidikan hari ini ada dikalangan ibubapa dan pendidik mengambil jalan dengan menjadikan tindakan merotan anak atau murid sebagai penyelesaian kepada masalah disiplin dan membentuk sikap serta tingkah laku murid atau anak-anak.Persoalannya adakah ianya sebahagian dari kesyumulan islam atau ianya adalah sekadar ikutan dan tradisi dalam pendidikan ataukah ia merupakan cara orang-orang tidak bertamadum dalam mendidik anak-anak?

KEBENARAN MEROTAN DALAM ISLAM
Secara umumnya islam memberi kebenaran melakukan tindakan menghukum anak-anak dengan cara memukul (termasuk merotan). Namun demikian ia perlu memenuhi beberapa syarat agar tindakan tersebut dikategorikan sebagai wasilah pendidikan dan melahirkan natijah yang positif dari anak-anak dan ibubapa atau pendidik itu sendiri. Sabda nabi s.a.w :

مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر وفرقوا بينهم في المضاجع
 أبي داود- حسن صحيح
" suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat pada usia tujuh tahun pukullah atas perkara itu pada usia sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur mereka"

Kefahaman dari nas di atas menunjukkan tidak ada perbezaan dalam  menyuruh anak mendirikan solat samada anak lelaki atau perempuan seterusnya juga tidak ada perbezaan segi hukumannya kerana suatu perintah  dalam nas jika ditujukan kepada lelaki maka adalah termasuk perempuan melainkan ada nas lain yang membezakannya.

Oleh demikian hukum memukul (merotan) secara umumnya boleh dilaksanakan pada anak lelaki dan perempuan, kerana kedua-duanya terdedah kepada unsur-unsur yang membawa kepada salah laku dan perlu kepada langkah `penta`diban` untuk membetulkannya.


Begitu juga firman Allah;(al nisa` 34)
وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُ‌وهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِ‌بُوهُنَّ
Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasehatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka.

Namun demikian dalam mengambil tindakan ini diperhatikan beberapa perkara yang mesti di patuhi agar tindakan tersebut menghasilkan natijah yang membantu kepada proses pendidikan anak-anak kearah membentuk peribadi yang selari dengan tujuan dan matlamat penciptaan manusia.

BERPERINGKAT DALAM MENGHUKUM
Sebelum tindakan merotan diambil hendaklah didahului dengan tindakan-tindakan yang lain terlebih dahulu sebagai langkah mengingatkan anak-anak atau murid terhadap kesalahan yang dilakukan seperti:

1-Menyuruh berhenti dari sesuatu kesalahan itu dan menyuruhnya melakukan perbuatan yang betul dan baik. Sebagaimana dalam hadis terdahulu bahawa diperintahkan  agar disuruh anak-anak supaya bersolat sebelum tindakan merotan diambil.

2.Menerangkan rasional sesuatu perbuatan itu dilarang atau tidak dibenarkan melakukannya sebagai mana di tunjukkan oleh nabi s.a.w

الحسن بن علي تمرة من تمر الصدقة . فجعلها في فيه . فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " كخ كخ . ارم بها . أما علمت أنا لا نأكل الصدقة ؟
‘ Hasan Bin Ali r.a mengambil sebiji tamar dari tamar yang disedekahkan dan hampir memakannya lalu berkata nabi s.a.w.`kha,kha,buangkannya,adakah kamu ketahui bahawa kita tidak memakan pemberian sedekah’

3.Mengambil tindakan lain yang lebih ringan seperti yang dilakukan oleh nabi s.a.w terhadap Abdullah ibn Abbas dengan menarik telinga beliau r.a untuk agar Abdullah berada hampir dengan baginda dalam solat malam:      ( صحيح البخاري - 4570)

4.Memberi amaran dengan cara menunjukkan kayu rotan sebagai mana perintah nabi dalam kitab sohih Adab Mufrad oleh Imam Al bani dan di riwayatkan oleh Ibn Abbas:

أن النبي صلى الله عليه وسلم أمر بتعليق السوط في البيت
`Sesungguhny nabi s.a.w menyuruh mengantungkan rotan dirumah`

Jika semua tindakan di atas tidak memberi kesan terhadap perubahan perlakuan anak-anak maka ketika itu barulah beralih kepada tindakan merotan.Pada masa yang sama hendak memenuhi beberapa kriteria:

NIAT MEROTAN
Setiap tindakan itu sangat berkait rapat dengan niat bagi menentukan  apa yang akan dicapai diakhirnya, justeru itu tindakan merotan hendaklah dengan yang niat  ikhlas bertujuan mendidik bukan sekadar melepaskan kemarahan atau geram,atau kepuasan hati individu yang merotan terhadap anak-anak atau murid.


USIA
Mengikut kefahaman dari nas hadis yang telah dikemukakan maka usia anak yang boleh diambil tindakan merotan keatasnya adalah tidak kurang dari sepuluh tahun kerana pada usia tersebut anak-anak sudah mampu memahami tindakan yang dikenakan katasnya.Namun demikian Al syeikh Ibn Baz dalam fatwanya mengatakan bahawa adalah seorang ibubapa dibolehkan menghukum anaknya dengan pukulan yang ringan dan tidak memudharatkan dalam rangka membetulkan akhlaknya walaupun belum mencapai usia sepuluh tahun.                 ( http://www.binbaz.org.sa/mat/17865)


JUMLAH PUKULAN
Pukulan rotan yang dikenakan hendaklah tidak boleh melebihi sepuluh kali pukulan,sesuai dengan saranan nabi s.a.w sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a dalam satu hadis sohih oleh imam Al Bukhari rahimahullah:

لا يجلد فوق عشر جلدات إلا في حد من حدود الله
‘Janganlah kamu merotan melebihi sepuluh kali pukulan melainkan dalam perlaksanaan hukum hudud’

Maka adalah menjadi satu kesalahan besar bahkan merupakan kezaliman terhadap anak-anak jika berlaku jumlah pukulan melebihi sebagai mana tersebut dalam proses penta`diban anak-anak.


MELAKUKAN DENGAN CARA YANG BETUL DAN SELAMAT

Jika sekiranya tindakan merotan perlu dilakukan melebihi satu pukulan maka hendaklah ianya melalui kaedah yang betul agar ianya selari dengan niat asal iaitu mendidik bukan mendera dan menyakitkan antaranya:

1.                  Hendaklah dimulakan dengan nama Allah dengan harapan pukulan ini melahirkan natijah yang baik.

2.                  Hendaklah sasaran rotan itu pada tempat berbeza agar tidak menyebatkan kesakitan yang bersangatan pada satu tempat.

3.                  Hendaklah diberikan jarak masa yang munasabah antara satu pukulan      
            dengan pukulan seterusnya.
4.                  Hendaklah hayunan tangan tidak melepasi paras bahu ini membolehkan ibubapa atau guru yang merotan mengawal kekuatan pukulannya agar tidak mencederakan anak-anak atau muridnya.

5.                  Menghentikan pukulan apabila anak  atau murid menyebut nama allah tanda menyesal atau bertaubat. Sebagaimana sabda nabi s.a.w yang sohih riwayat Abu Said Al Khudri dalam kitab Tahkhrij Miskat Al Masobih oleh Ibnu Al Asqalani:

إذا ضرب أحدكم خادمه فذكره الله فليمسك
`Apabi seseorang memukul khadamnya lalu ia menyebut nama allah hendaklah dia menahannya(berhenti`(

                        (untuk rujukan lanjut-القعاب المدرسي عند بعض التربيين المسلمين-دزعبد المنعم عثمان صبير )


TEMPAT YANG DIROTAN
            Seperti mana yang telah dinyatakan bahawa dilarang melakukan pukulan pada satu tempat berturut-turut dan pada masa yang sama hendaklah dipastikan tempat  tersebut bukanlah bahagian muka sesuai dengan larangan nabi dalam hadis sohih dari Abu Daud yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
إذا ضرب أحدكم فليتق الوجه
سنن أبي داود - كِتَاب الْحُدُودِ
`Apabila seseorang dari kamu memukul maka elakkanlah dari bahagian muka`

Al Qabisi dalam bukunya Hukum-hukum Guru Dan Murid menaqalkan bahawa seseroang itu hendaklah mengelakkan dari bahagian mata dan muka ketika menghukum (merotan) anak atau muridnya,beliau juga mengatakan bahawa tempat yang paling selamat dan sesuai adalah bahagian kaki.

SITUASI ORANG YANG MEROTAN

            Kepada  sesiapa yang mengambil keputusan untuk bertindak dengan merotan anak atau murid hendaklah mereka itu mengawal hati dan perasaan mereka ketika itu dari kemarahan dan kebencian bahkan hendaklah berusaha menumbuhkan dan melahirkan rasa cinta dan belas kasihan pada anak atau murid atas tindakan tersebut dan dengan penuh kesedaran bahawa tindakan yang diambil adalah dengan tujuan untuk mendidik dan membetulkan kesilapan yang berulang.
Juga adalah dilarang sama sekali semasa merotan itu disertai dengan sumpah seranah atau cacian terhadap anak dan murid yang di rotan, kerana setiap kata dari guru atau ibubapa itu adalah doa. Jika kata-kata yang buruk dihamburkan maka seolah-olah mereka mendoakan keburukan kepada anak atau murid itu. Hal ini dilarang keras dalam islam;












Dalam satu hadis sohih oleh Abu Daud dari Jabir bin Abdullah Al Ansori:

لا تدعوا على أنفسكم ولا تدعوا على أولادكم ولا تدعوا على خدمكم ولا تدعوا على أموالكم لا توافقوا من الله تبارك وتعالى ساعة نيل فيها عطاء فيستجيب لكم
`Janganlah kamu memohon/menyeru keburukan keatas diri kamu,dan jangan kamu memohon/menyeru keburukan keatas anak-anak kamu dan janganlah kamu memohon /menyeru keburukan keatas harta benda kamu,dibimbangi beersesuian dengan waktu Allah s.w.t menerima permintaan lalu diperkenankan bagi kamu`

Kesimpulan

Permasalahan rotan dalam proses pendidikan adalah satu realiti yang pernah dilalui oleh kebanyakan dari kita.Khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam pendidikan. Segala  maklumat yang telah dikemukan secara ringkas dalam artikel ini diharapkan menjadi sebahagian dari garis panduan dalam mengambil tindakan tersebut. Walau pun sebahagian ada yang berpendapat adalah tidak perlu tindakan rotan dalam proses pendidikan tapi keadaan dan suasana hari ini sebenarnya membuktikan sebaliknya, sebagaimana disebut dalam syair arab.:

العلم ينفعهم والضرب يرفعهم         ولولا ضربهم ما حفظوا الكتبا

`Ilmu itu memberi manfaat kepada mereka   Sedangkan pukulan itu mengangkat kedudukan mereka.
jika tidak kerana pukulan nescaya mereka tidak mengingati buku`

Tindakan ini ia akan memberi kesan yang positif jika sekiranya di patuhi syarat dan peraturan yang digariskan oleh islam.Selama kita berpegang kepada apa yang digariskan oleh islam maka selama itulah kita akan dijamin kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Sama-samalah kita memohon keampunan dari Allah s.w.t  atas segala kesilapan dan kekurangan kita selama ini.Sesungguhnya Allah itu maha pengasih lagi maha Pengampun.


Imam 3 MBR
Kuantan.


No comments: