Monday, 6 January 2014

Pengurusan Masa Dalam Islam - Wal 'Asri

Oleh: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
(http://al-firdaus.com)

**Risalah ini merupakan kertas kerja yang saya bentangkan dalam seminar Motivation Is A Catalyst To Succeed yang diadakan pada 29 Julai 2007 di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا (بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]

Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa manusia  sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara:

Beriman, iaitu memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh terhadap Allah dan apa yang disyari‘atkan oleh-Nya.

Melaksanakan amal shalih. Ia bukan sekadar solat, puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan yang shalih di dalam Islam seperti berbuat baik kepada ibubapa, menghubungkan silaturahim, cemerlang dalam pembelajaran dan profesional dalam kerjaya.

Berpesan-pesan kepada kebenaran. Memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.

Berpesan-pesan kepada kesabaran. Memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah larangan Allah.

Saya yakin para pembaca sekalian telah menghafal dan mengetahui maksud tiga ayat al-Qur’an di atas sejak dari kecil. Akan tetapi timbul satu cabaran hebat: Masa! Tidak cukup masa untuk melaksanakan keempat-empat tuntutan  dalam ayat tersebut. Mengapakah Allah Subhanahu wa Ta'ala bersumpah dengan masa padahal tuntutan-tuntutan yang disebut-Nya selepas sumpahan tersebut amat sukar dicapai kerana keterbatasan masa?

Sebenarnya apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengaitkannya dengan masa, bererti masa merupakan faktor utama dalam menentukan sama ada keempat-empat tuntutan tersebut berjaya kita capai atau tidak. Dalam erti kata lain, sesiapa yang memiliki pengurusan masa yang efisyen akan mampu mencapai tuntutan-tuntutan tersebut sehingga akhirnya menjadi orang yang beruntung. Sebaliknya sesiapa yang tidak memiliki pengurusan masa yang efisyen, dia akan gagal sehingga akhirnya menjadi orang yang rugi.

Melalui tulisan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian tentang bagaimana mengurus masa secara efisyen. Ia amat mudah, hanya terdiri dari lima langkah. Ia amat ringkas, hanya memerlukan lima belas minit dari masa anda. Akan tetapi ia amat penting, penentu sama ada anda menjadi orang yang beruntung atau rugi.

------
Langkah # 1: Menyedari Bahawa Masa Adalah Tetap------

Berhenti sekejap dan lihat kepada jam anda. Sama ada jam tangan, jam talifon bimbit atau jam di dinding. Sama ada jam yang menggunakan jarum atau angka digital. Terdapat pelbagai jenis jam dan pelbagai jenis reka bentuk, dengan kepelbagaian yang tidak mampu kita hitung. Akan tetapi dalam kepelbagaian tersebut, terdapat sesuatu yang sama, sesuatu yang tetap. Iaitu, 60 saat = 1 minit, 60 minit = 1 jam dan 24 jam = 1 hari.

Formula di atas tidak dapat diubah atau diperlahankan. Kita tidak boleh mengubah agar dalam satu hari ada 30 jam. Kita tidak boleh memperlahankan agar 100 saat menjadi satu minit. Ringkasnya, masa adalah sesuatu yang tetap. Lalu bagaimanakah kita hendak melebihkan masa supaya dapat mencapai keempat-empat tuntutan dari surah al-‘Ashr?

Jawapannya, kita tidak boleh melebihkan masa kerana ia adalah tetap. Sebaliknya kita boleh ubah perkara-perkara yang kita lakukan kerana ia tidak tetap. Salah satu sebab utama orang menghadapi masalah keterbatasan masa ialah kerana mereka melakukan terlalu banyak perkara. Sikap inilah yang perlu  diubah, dari melakukan banyak perkara kepada melakukan hanya beberapa perkara.

Sebagai contoh, seorang pelajar pusat pengajian tinggi mungkin melakukan perkara-perkara berikut sehingga menghadapi keterbatasan masa:

- Belajar jurusan yang diambil.

- Menyertai sesi latihan Kick Boxing setiap petang, dua kali seminggu.

- Menyertai kelab bahasa Inggeris.

- Menyertai pasukan sukarelawan menziarahi rumah orang kurang upaya setiap hari Ahad.

- Ahli panel rekabentuk grafik untuk risalah bulanan fakulti yang diterbitkan setiap bulan.

- Bermain untuk pasukan badminton asrama.

- Menghadiri kuliah-kuliah agama yang dianjurkan oleh masjid di kampus setiap hari.

- Menganjurkan usrah untuk pelajar-pelajar yang baru masuk ke kampus setiap malam Jumaat.

- Menjadi wakil penjual kad tambah nilai talifon bimbit untuk syarikat 015-xxx xxxx.

Perkara-perkara di atas hendaklah diubah dan dikurangkan, umpama:

- Memberi tumpuan menuntut ilmu agama.

- Memberi tumpuan kepada jurusan yang diambil.

- Memberi perhatian kepada hal-ehwal ibubapa di kampung.

- Menyertai hanya satu aktiviti sukarelawan di kampus.

- Kenyataan saya di atas mungkin memeranjatkan. Bukankah lagi banyak yang  dilakukan, lebih baik dan berjaya seseorang itu? Saya berkata, kenyataan tersebut sekali pun masyhur, perlu dipertimbangkan semula. Banyak tidak semestinya berjaya, sedikit tidak semestinya gagal.

Ingat! Masa adalah tetap. Melakukan banyak perkara dalam masa yang tetap menyebabkan perkara-perkara yang dilakukan tidak mencapai kualiti yang terbaik. Malah adakalanya cukup syarat sahaja. Semua ini akhirnya melahirkan perasaan tidak puas hati, kekecewaan dan kehilangan motivasi. Sebaliknya melakukan beberapa perkara dalam masa yang tetap menyebabkan perkara-perkara yang dilakukan mencapai kualiti yang baik. Ini akhirnya melahirkan perasaan kesyukuran, puas hati dan motivasi untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.

------
Langkah # 2: Fokus Dan Prioriti, Bukan Rambang Dan Suka Hati------

Sebab kedua yang menyebabkan keterbatasan masa adalah sikap melakukan perkara-perkara secara rambang dan suka hati, tidak secara fokus dan berprioriti. Ditegaskan bahawa individu muslim yang berjaya bukanlah seorang yang melakukan banyak perkara, tetapi adalah seorang yang melakukan beberapa perkara dan dia melakukannya secara fokus dan berprioriti.

Fokus maksudnya memberi tumpuan kepada sesuatu perkara secara mendalam sehingga menguasainya secara luas. Prioriti maksudnya menimbang sesuatu perkara, sama ada patut didahulukan atau dikemudiankan, sama ada patut dipertamakan atau diletakkan di tangga kedua, ketiga dan seterusnya.

Sebagai contoh, menuntut ilmu agama hendaklah difokuskan kepada aqidah kerana aqidah yang sahih lagi kukuh menjamin kejayaan seorang muslim di dunia dan akhirat. Menuntut ilmu agama hendaklah diberi prioriti kerana seseorang yang memahami Islam secara benar akan menjadi individu yang berjaya, bukan sahaja dari sudut agama tetapi juga dari sudut pembelajaran, kerjaya dan motivasi diri.

Memberi fokus dan prioriti kerana ilmu agama tidak bererti mengabaikan ilmu duniawi. Seorang muslim yang memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh serta kefahaman Islam yang benar akan mengetahui bahawa Islam amat menuntut agar dia menjadi seorang yang profesional dalam urusan duniawi. Dia mengetahui firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
وَقُلْ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan katakanlah: “Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu amalkan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia (Allah) akan menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah amalkan.” [al-Taubah 9:105]

Dia mengetahui sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
إِنَّ اللهَ تَعَالَى يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلاً أَنْ يُتْقِنَهُ
Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi jika seseorang itu beramal, dia beramal dengan cemerlang. (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan dinilai sahih oleh Mokhtar Ahmad an-Nadwi dalam Jami’ li Syu‘ab al-Iman, hadis no: 4930 (Bab Tentang Amanah...))

Firman Allah yang bermaksud “Beramallah kamu…” adalah fi‘il amr yang berupa satu perintah.

Ini menunjukkan kewajipan untuk kita beramal. Sementara perkataan “amal” bukanlah terhad kepada solat, puasa dan zikir tetapi meliputi semua aktiviti yang selari dengan Islam termasuk menuntut ilmu duniawi dan berkerja dalam jurusan duniawi. Sesiapa yang berpendapat perkataan amal hanyalah solat, puasa dan zikir, bererti dia masih berpegang kepada kefahaman sekularisme yang memisahkan antara agama dan dunia.

Menyentuh tentang sekularisme, fahaman ini telah banyak mempengaruhi umat Islam pada masa kini. Di satu sudut kita akan temui orang yang hanya memberi tumpuan kepada agama hingga mengabaikan dunia. Di sudut yang lain kita temui pula orang yang hanya memberi tumpuan kepada dunia sehingga mengabaikan agama. Amat sedikit untuk ditemui orang yang memberi tumpuan kepada agama dan dunia sehingga mencapai kecemerlangan dalam kedua-duanya.

Seterusnya amal tersebut kita lakukan sebaik mungkin, sesempurna mungkin. Ini kerana dari sudut aqidah, kita mengetahui bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat apa yang kita lakukan. Seolah-olah, Allah dan Rasulullah hadir mengawasi apa yang sedang kita lakukan. Kemudian di Hari Akhirat kelak …(Allah) akan menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah amalkan.” Sudah tentu semua ini akan menyebabkan kita malu untuk melakukannya secara enteng atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya kita akan melakukannya sesempurna mungkin kerana: “Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi jika seseorang itu beramal, dia beramal dengan cemerlang.”

Oleh itu, langkah kedua dalam mengurus masa ialah memberi fokus dan prioriti dalam beberapa perkara yang dilakukan sehingga setiap detikan saat memiliki nilai dan manfaat. Keberadaan masa yang sentiasa tetap menyebabkan kita tidak mampu untuk mensia-siakannya dengan sikap yang rambang dan suka hati.

------
Langkah # 3: Menyedari Bahawa Masa Tidak Menunggu Sesiapa------

Sekali lagi saya ingin meminta para pembaca merenung kepada jam. Perhatikan bahawa ia sentiasa bergerak. Jika ia terhenti kerana kehabisan bateri atau kerana anda menghentikannya, jam-jam yang lain tetap bergerak. Semua ini mengarah kepada satu kesedaran yang amat penting, iaitu masa tidak menunggu sesiapa.

Saya yakin semua orang tahu akan hakikat ini. Akan tetapi kadangkala kita melakukan perkara-perkara yang memberi gambaran seolah-olah masa menunggu kita. Seolah-olah masa berhenti sementara bagi membolehkan kita melakukan perkara-perkara tersebut. Apakah perkara-perkara yang saya maksudkan itu? Berikut saya kemukakan beberapa contoh:

- Menyambung tidur selepas solat Subuh pada hari cuti. Jika hari Isnin hingga Jumaat bangun pukul 5.45 pagi, solat Subuh berjamaah dan terus ke kuliah atau pejabat, maka pada hari cuti bangun dilewatkan hingga pukul 8 atau 9 pagi. Ada juga yang melanjutkannya hingga siang hari.

- Meluangkan masa antara 1 hingga 2 jam membaca surat khabar.

- Menonton orang lain bersukan, seperti menonton perlawanan bola sepak, futsal, hoki, tenis dan sebagainya.

- Beriktikaf di hadapan kaca TV, purata antara 1 hingga 3 jam setiap hari.
Keluar makan bersama rakan-rakan dengan tempoh yang lama, purata antara 1 hingga 2 jam.

Contoh-contoh di atas adalah segelintir dari sekian banyak perkara yang kita lakukan yang sebenarnya merupakan satu kesia-siaan masa. Istilah seerti baginya ialah pembaziran masa dan pembaziran, sama ada melibatkan masa, wang, kesihatan, pemikiran dan perbuatan, adalah suatu tindakan yang tidak sepatutnya menjadi ciri-ciri seorang muslim. Ini kerana:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ
Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan. [al-Isra’ 17:27]

Di sini saya tidak bermaksud untuk menyuruh para pembaca sekalian mengabaikan perkara-perkara di atas. Jika anda ingin tidur lebih untuk merehatkan minda dan tubuh pada hari cuti, lakukanlah ia pada waktu siang dan bukan pada waktu pagi. Waktu pagi adalah saat yang penuh keberkatan untuk kita lakukan aktiviti yang bermanfaat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berdoa:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا
Ya Allah! Berkatilah umat aku pada pagi hari. (Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 2606 (Kitab al-Jihad, Bab berangkat pada waktu pagi))

Ada pun waktu siang, maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan:
قِيْلُوْا، فَإِنَّ الشَّيَاطِيْنَ لاَ تَقِيْلُ
Tidurlah (sebentar) pada siang hari kerana sesungguhnya syaitan-syaitan tidak tidur pada siang hari. (Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Nu‘aim dan sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no: 1647)

Merujuk kepada surat khabar, anda sudah mendapat berita dengan hanya membaca beberapa perenggan pertama bagi setiap laporan. Kemudian jika anda membacanya dengan manhaj fokus dan prioriti, 80% dari laporan yang dikemukakan boleh diabaikan. Semua ini membolehkan anda khatam membaca surat khabar dalam masa 15 minit sahaja.

Ada pun sukan, maka Islam menganjurkan kita untuk bersukan demi kekuatan dan kesihatan. Berkenaan kekuatan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ
Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai oleh Allah berbanding mukmin yang lemah. (Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2664 (Kitab al-Qadar, Bab suruhan untuk bersifat kuat…))

Ada pun kesihatan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lazim berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ  إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي
Ya Allah! Aku memohon kepada Engkau kesihatan yang baik di dunia dan akhirat. Ya Allah! Aku memohon kepada Engkau keampunan dan kesihatan yang baik dalam urusan agamaku, duniaku, ahli keluargaku dan hartaku. (Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 4785 (Musnad ‘Abd Allah bin ‘Umar))

Walaubagaimana pun bezakan bahawa Islam menganjurkan kita bersukan dan bukan menonton orang lain bersukan. Saya sebenarnya amat hairan memerhatikan gelagat orang yang menonton orang lain bersukan. Bukan sekadar menonton, mereka menyokong pasukan yang ditonton dengan penuh jiwa dan raga. Mereka menunggu perlawanan bermula dengan penuh debaran. Mereka memerhati perlawanan dengan penuh kekhusyukan, kekhusyukan yang mengalahkan semua nilai khusyuk solatnya dalam sehari. Jika pasukan yang disokong menang mereka melompat kegembiraan. Jika sebaliknya, mereka tunduk kesedihan mengalirkan air mata.

Kepada para penonton seumpama perenggan di atas, saya ingin bertanya beberapa soalan mudah. Jika anda sakit, adakah pasukan yang anda sokong datang untuk menziarahi anda? Jika anda menghadapi kesempitan kewangan, adakah pasukan yang anda sokong memberikan sumbangan atau pinjaman? Jika anda gagal dalam kehidupan, adakah pasukan yang anda sokong akan membantu anda mencapai kejayaan? Saya yakin jawapannya tidak. Oleh itu kenapakah anda menyerahkan segala jiwa dan raga, termasuk masa anda, kepada satu pasukan yang tidak kisah langsung tentang anda?

Ada pun menonton TV, maka tontonlah dengan manhaj fokus dan prioriti, iaitu satu dua rancangan yang memberi manfaat kepada pembangunan minda. Percayalah, kebanyakan pemilik syarikat siaran TV tidak menonton apa yang disiarkan oleh syarikatnya melainkan beberapa rancangan yang terpilih. Mereka tahu, jika mereka menonton TV saban hari, mereka tidak akan menjadi individu berjaya yang dapat memiliki sebuah syarikat siaran TV.

Akhir sekali, makan bersama-sama rakan dianjurkan oleh Islam kerana memiliki keberkatan di dalamnya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menegaskan:
فَاجْتَمِعُوا عَلَى طَعَامِكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ يُبَارَكْ لَكُمْ فِيهِ
Berkumpullah kalian ketika makan dan sebutlah nama Allah padanya (Bismillahi Rahmani Rahim), nescaya makanan kalian akan diberkati. (Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3764 (Kitab al-Ath‘imah, Bab berkenaan berkumpul untuk makan))

Oleh itu makan bersama adalah sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Akan tetapi menghabiskan masa yang lama ketika makan bersama adalah pembaziran masa dan pembaziran bukanlah sunnah……

------
Langkah # 4: Di Celah-Celah Masa Ada Masa
------

Sebenarnya dalam keterbatasan masa yang dihadapi, kita boleh memiliki masa yang lebih. Berikut dikemukakan beberapa tip untuk mencari masa di celah-celah masa:

Berani berkata tidak. Apabila orang lain mengajak anda untuk melakukan aktiviti yang sia-sia atau minimum manfaatnya, beranikan diri berkata tidak. Tolaklah ajakan tersebut dengan sopan, umpama: “Tak mengapa silakan, saya ada kertas kerja fakulti yang belum disiapkan.” Atau yang lebih baik: “Tak mengapalah, saya ada kertas kerja fakulti yang belum disiapkan. Hmm! Alang-alang anta ada masa lapang, jom kita siapkan bersama?”

Gunakan kaedah temujanji (appointment). Kaedah temujanji bukan hanya untuk orang yang sudah berjaya tetapi juga untuk orang yang ingin berjaya. Apabila ada rakan yang ingin menziarahi anda, tetapkan waktu bermula dan berakhir. Apabila ada mesyuarat persatuan, minta ditetapkan waktu mula dan akhir. Kemudian jangan anda berganjak dari waktu yang dijanjikan. Kaedah ini  mungkin kurang selesa bagi rakan atau ahli-ahli persatuan anda, justeru sejak awal berilah penjelasan yang hikmah tentangnya.

Manfaatkan bas dan tandas. Dua suasana yang lazim kita lalui tetapi tidak sedar bahawa masa boleh dimanfaatkan di dalamnya. Ketika dalam pengangkutan awam dan tandas, kita sebenarnya memiliki masa untuk membaca, mengkaji dan berfikir. Maka janganlah bazirkannya dengan nyanyian dan khayalan.

Do Not Disturb. Peranan tanda Do not disturb please bukan saja untuk digantung pada tombol pintu bilik hotel, tetapi juga untuk digantung pada tombol pintu bilik asrama atau dileher anda. Apabila anda sedang melakukan aktiviti yang penting, cuba elakkan faktor-faktor yang boleh menyebabkan gangguan. Senyapkan talifon bimbit. Tutup pintu bilik asrama. Pastikan rakan perbincangan di perpustakaan adalah mereka yang benar-benar fokus dalam perbincangan.

Ketahuilah bahawa satu gangguan akan merosakkan fokus anda pada kadar dua hingga tiga kali ganda dari tempoh gangguan itu sendiri. Sebagai contoh, anda mungkin mengambil masa 20 saat untuk membaca dan menjawab satu pesanan ringkas (SMS). Akan tetapi anda akan mengambil masa 1 minit untuk mengembalikan fokus kepada apa yang sedang anda lakukan sebelum itu. Kemudian, lazimnya SMS tersebut akan berbalas semula. Oleh kerana itulah dikatakan: A minor interruption will lead to many other interruptions.

Cepat bukan jimat. Wujud satu kefahaman, bahawa sesuatu aktiviti yang dilakukan dengan cepat akan menjimatkan masa. Sebenarnya tidak. Ia bahkan membazir masa. Sebabnya:

Cepat menyebabkan anda terpaksa menggunakan fikiran pada kadar yang tinggi. Ini menyebabkan ia cepat letih sehingga tidak dapat melakukan aktiviti seterusnya dengan efisyen.
Cepat menyebabkan projek yang anda lakukan memiliki banyak kesilapan dan kekurangan. Akhirnya anda terpaksa melakukan semula dari awal untuk menampung kesilapan dan kekurangan tersebut demi mencapai kualiti yang memuaskan.

Anda akan mudah marah dan merungut apabila berlaku gangguan yang tidak dijangkakan. Ini kerana gangguan tersebut mempengaruhi kadar kecepatan anda. Namun yang sebenarnya mengganggu ialah sikap anda yang ingin cepat sehingga mudah marah dan merungut. Satu gangguan mungkin mengambil masa 5 minit, tetapi anda akan memerlukan 15 minit untuk kembali tenang dan lapang.

Anda mungkin dapat membaca buku dalam masa yang cepat (speed reading). Akan tetapi dalam kecepatan tersebut banyak poin penting yang anda tertinggal atau salah faham. Kemudian apabila ingin membuat kertas kerja, anda gagal mengemukakan maklumat yang bermanfaat dan tepat padahal semuanya sedia terkandung dalam buku-buku yang sudah anda baca sebelum itu. Akhirnya anda terpaksa merujuk semula kepada buku-buku tersebut.

Oleh itu cepat bukanlah jimat. Sikap yang terbaik ialah dipertengahan antara cepat dan lambat. Sikap yang dimaksudkan ialah tenang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berpesan:
اَلتَّأَنِيْ مِنَ اللهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ
Ketenangan adalah dari Allah manakala ketergesa-gesaan adalah dari syaitan.  (Hasan: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 3011)

Lakukan pelaburan masa. Pelaburan bererti menggunakan modal yang kecil untuk memperoleh manfaat yang besar di kemudian hari. Pelaburan bukan sahaja berkaitan dengan wang ringgit, tetapi juga masa. Gunakan masa yang sedikit sebagai pelaburan untuk mencapai manfaat masa yang besar di kemudian hari.

Satu contoh mudah, saya yakin para pembaca sekalian lazim menggunakan perisian Microsoft Word untuk menyiapkan kertas kerja kuliah dan sebagainya. Saya juga menggunakannya untuk menulis risalah ini. Pada mulanya saya menggunakan perisian tersebut secara terus tanpa belajar apa-apa tentangnya. “Alaah! Microsoft Word! Siapa yang tak tahu guna?”

Akan tetapi pada satu hari, saya mengambil keputusan untuk belajar tentangnya. Saya membeli buku The Complete Idiot’s Guide To Microsoft Word 97 oleh Daniel T. Babola yang diterbitkan oleh QUE Corporation, tahun 1996.

Saya mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk mengkajinya. “Wah! Sungguh banyak yang mampu dilakukan oleh perisian ini. Dan semua itu dapat dilakukan dengan amat mudah.” Demikian bisik hati saya. Apa yang saya belajar dalam tiga minggu tersebut, sepuluh tahun yang lalu, dapat saya manfaatkan hingga hari ini. Tiga minggu tersebut merupakan satu pelaburan masa yang benar-benar menguntungkan. Ia, alhamdulillah, membolehkah saya melakukan pelbagai kerja dengan perisian Microsoft Word dan semuanya dapat dilakukan dengan mudah dan kemas.

Tak dapat bayangkan apa yang saya maksudkan? Cubalah anda melaburkan masa membacanya. Carilah edisi yang terkini. Saya yakin kertas kerja kuliah dapat anda siapkan dengan kemas lagi canggih dalam masa sejam berbanding tiga jam sebelumnya.

Belanjakan RM untuk masa. Ada satu kata pepatah Inggeris: Time is more valuable than money. Iyya! Masa lebih bernilai dari wang ringgit. Maka gunakanlah wang ringgit untuk memperoleh masa yang lebih. Kertas kerja kuliah anda sekali lagi saya jadikan contoh. Adakah anda terpaksa ke makmal komputer atau cybercafe untuk menaipnya? Banyak masa yang terbuang di sana, dari menunggu giliran sehinggalah kepada petunjuk di skrin yang tidak bergerak searah dengan tetikus.

Sebagai alternatif lain, cuba beli komputer riba sendiri. Anda tidak perlu membelanjakan wang yang banyak. Memadai komputer riba terpakai dengan kelajuan processor yang sederhana. RM1500.00 yang anda belanjakan akan dapat menjimatkan masa anda dalam jumlah yang tidak dapat dihitung.

Menyentuh berkenaan mencari masa di celah-celah masa, saya tidaklah bermaksud agar para pembaca sekalian menggunakan seluruh masa yang ada untuk bekerja keras. Islam tidak menyuruh umatnya menjadi rahib yang hanya beribadah mahu pun robot yang hanya bekerja. Sebaliknya Islam membolehkan agar ibadah dan kerja diselang-seli dengan lawak jenaka, sembang-sembang bersama rakan dan beristirehat. Ringkasnya, setiap sesuatu ada masanya, yang penting hendaklah kita membahagikannya secara adil.

Salah seorang sahabat dan juru tulis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bernama Hanzhalah al-Usaidi radhiallahu 'anh pernah menceritakan: ‘Satu hari saya berjumpa dengan Abu Bakar as-Shiddiq radhiallahu 'anh.” Abu Bakar bertanya: “Kamu apa khabar?”

Hanzalah menjawab: “Saya telah melakukan satu kemunafiqan!”

“Subhanallah! Apa yang kamu cakap ni?”

“Sebentar tadi saya bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda mengingatkan kami berkenaan neraka dan syurga sehingga seolah-olah saya dapat melihat dengan mata saya sendiri. Apabila saya berangkat pulang dari sisi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, saya bermain-main bersama isteri dan anak-anak serta melakukan beberapa urusan sehingga saya lupa kebanyakan (dari apa yang dipelajari dari Rasulullah sebelum itu).”

“Demi Allah! Saya juga pernah mengalami hal yang sama!” ujar Abu Bakar.

Kemudian Hanzhalah dan Abu Bakar pergi berjumpa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Hanzhalah berkata: “Wahai Rasulullah! Saya telah menjadi seorang munafiq!”

Rasulullah bertanya: “Kenapa sedemikian?” Lalu Hanzhalah menceritakan apa yang terjadi padanya. Lalu Rasulullah bersabda:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِي وَفِي الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمْ الْمَلاَئِكَةُ (عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِي طُرُقِكُمْ وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً (ثَلاَثَ مَرَّاتٍ
“Demi Allah yang jiwaku berada di Tangan-Nya, kalau kalian sentiasa dalam keadaan seperti ketika bersamaku dan kalian sentiasa berzikir, nescaya para malaikat akan menemani kalian di atas tempat tidur dan juga di jalanan.

Akan tetapi wahai Hanzhalah, segala sesuatu ada masanya.” (Baginda mengulanginya tiga kali). (Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2750 (Kitab al-Taubah, Bab keutamaan sentiasa berzikir…))

------
Langkah # 5: Carilah Keberkatan Dalam Masa------

Sebelum ini saya ada menerangkan tentang formula masa dan pergerakan jam. Memang, ia tidak dapat diubah. Akan tetapi sebagai seorang mukmin, kita beriman kepada wujudnya sesuatu yang istimewa di sebalik formula masa  dan pergerakan jam. Perkara istimewa tersebut tidak dapat diukur dengan apa-apa formula dan tidak dapat dilihat pada mana-mana jam.

Perkara istimewa tersebut ialah keberkatan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada para hamba-Nya yang terpilih. Dengan keberkatan ini, seseorang itu mampu melakukan banyak perkara bermanfaat untuk agama, umat, manusia dan alam sekali pun dalam formula masa dan pergerakan jam yang tetap sama.

Bagaimanakah memperoleh atau mencari keberkatan dalam masa? Berikut dikemukakan dua cara:

Memberi perhatian kepada hal-ehwal ibubapa.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِد
Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa. (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya, hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa) dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515)

Luangkanlah masa sekurang-kurang seminggu sekali untuk menalifon ibubapa atau menulis surat kepada mereka. Sebulan sekali, baliklah ke kampung menziarahi dan memperhatikan hal ehwal mereka. Dalam zaman materialisme dan individualisme masa kini, ibubapa sering diketepikan. Akan tetapi ketahuilah, keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa kita. Jika ibubapa redha kepada kita, Allah juga akan redha kepada kita. Apabila Allah redha kepada kita, tidak ada perkataan yang mampu saya taip untuk menggambarkan hasilnya. (Lebih lanjut berkenaan kedudukan ibubapa dalam Islam, rujuk buku saya Wahai Ibu! Wahai Ayah! terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2006)

------
Sedekahkan masa
------

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
مَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai;  tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. [al-Baqarah 2:261]

Dalam ayat di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan pulangan dividen harta bagi sesiapa yang sebelum itu mensedekahkan hartanya secara ikhlas untuk kebaikan agama dan umat Islam. Secara analogi, demikianlah juga dividen masa yang akan diperoleh oleh sesiapa yang mensedekahkan masanya secara ikhlas demi kebaikan agama dan umat Islam. Sedekah masa yang saya maksudkan ialah melakukan kerja-kerja sukarelawan. Kerja sukarelawan tersebut bukanlah kerana kumpulan atau persatuan, tetapi kerana agama dan umat.

Antara kerja sukarelawan yang saya maksudkan ialah mengajar tusyen kepada  pelajar-pelajar sekolah luar bandar, melawat hospital, melawat rumah orang tua, melawat rumah orang kurang upaya dan memperbaiki rumah yang rosak di kawasan kampung. Jika anda menguasai ilmu agama, lakukanlah amar ma’ruf dan nahi mungkar. (Lebih lanjut tentang ilmu yang saya maksudkan, rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2007) Jika anda menguasai ilmu perbandingan agama, maka jadilah seorang pendakwah. Sesiapa yang mensedekahkan masanya demi kebaikan agama dan umat Islam, maka Allah Subhanahu wa Ta'ala akan mengurniakan kepadanya kelapangan masa untuk melakukan pelbagai lagi perkara yang bermanfaat.

Dua perkara di atas, iaitu memperhatikan hal-ehwal ibubapa dan melakukan aktiviti sukarelawan telah saya senaraikan ketika mengupas langkah pengurusan masa # 1. Di sana saya senaraikan bahawa jumlah perkara yang hendak dilakukan oleh seseorang hendaklah dikurangkan kepada:

- Memberi tumpuan menuntut ilmu agama.

- Memberi tumpuan kepada jurusan yang diambil.

- Memberi perhatian kepada hal-ehwal ibubapa di kampung.

- Menyertai hanya satu aktiviti sukarelawan di kampus.

Apabila anda melakukan perkara ketiga dan keempat secara ikhlas dan sebaik-baiknya, Allah Subhanahu wa Ta'ala akan mengurniakan keberkatan dalam masa anda sehingga anda memiliki kelapangan untuk melakukan perkara-perkara lain yang bermanfaat. Maka setelah itu, senarai empat perkara di atas boleh anda tambah menjadi lima, enam dan seterusnya. Akan tetapi ingat, hendaklah perkara yang anda tambah itu masuk dalam kategori firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا (بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]

No comments: